PUTRAJAYA: Kerajaan melancarkan Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) yang mampu mewujudkan ekosistem manfaat kepada semua pihak berkepentingan di dalam ekonomi terutama dengan pembabitan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dengan enam GLIC melaksanakan mandat mereka yang diperbaharui.
Katanya, konsep Perkukuh dizahirkan untuk mencapai lima hasil utama iaitu memperjelas mandat setiap GLIC; peningkatan fokus kepada pelaburan pembangunan untuk memacu pertumbuhan baharu; menyemarakkan sektor swasta; menyiap siaga GLIC bagi masa hadapan melalui peningkatan tadbir urus dan keupayaan serta mengukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal GLIC.
“Sebagai pemain dan pelabur utama di dalam ekonomi, GLIC merupakan penyumbang penting kepada asas ekonomi Malaysia. Oleh itu, peningkatan tadbir urus dan proses-proses yang berkaitan juga memperkuatkan daya ketahanan GLIC lebih-lebih lagi dalam suasana mencabar sekali gus menyokong kestabilan ekonomi Malaysia.
“Peranan GLIC dalam mendorong digitalisasi dan teknologi melalui pelaburan mereka juga akan menyokong kepentingan Malaysia untuk meningkatkan prospek dan ketahanan ekonomi jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, ia akan dilakukan seiring dengan komitmen kerajaan bagi penyusunan semula struktur di dalam jangka masa sederhana untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi serta menghasilkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, pelaksanaan Perkukuh memberi pelbagai kelebihan iaitu bagi GLIC, pembinaan portfolio pelaburan (strategik dan komersial) dengan pulangan lebih tinggi yang mengambil kira faktor risiko dan tadbir urus yang lebih rapi akan menjamin ketahanan dan prospek pertumbuhan lebih baik, malah pendekatan ini secara beransur-ansur meraih pulangan pelaburan lebih baik bagi pendeposit, pemegang saham dan para pesara.
Katanya, komuniti pelabur pula akan mendapat manfaat dari pembangunan bidang-bidang pertumbuhan baharu, di mana lebih banyak peluang mereka terlibat secara langsung melalui penyemarakkan pelaburan swasta, lebih-lebih lagi di dalam sektor-sektor baharu dan yang telah dibangunkan.
“Manfaat kepada ekonomi adalah melalui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan tambah nilai yang tinggi, justeru memperkukuhkan prospek pertumbuhan dan ketahanan fiskal negara bagi jangka masa panjang.
“Paling penting, rakyat akan mendapat manfaat daripada prospek peningkatan pendapatan, pulangan yang stabil bagi simpanan, deposit, pencen, serta program perlindungan sosial yang lebih berkesan dan holistik,” katanya.
Beliau berkata, sejak bermulanya pandemik Covid-19 ini, Strategi Pemulihan Ekonomi 6R diperkenalkan untuk melonjakkan semula ekonomi negara.
Katanya, Perkukuh adalah inisiatif jangka sederhana selama tiga tahun dan adalah sebahagian daripada peringkat terakhir Strategi 6R iaitu Menyusun Semula.
Jelas beliau, Petunjuk Prestasi Utama akan ditentukan dengan jelas dan dipantau dengan teliti Kementerian Kewangan untuk memastikan supaya program-program di bawah inisiatif ini terus berada di landasan betul.
“Secara keseluruhan, keutamaan semasa kerajaan adalah melindungi nyawa daripada ancaman Covid-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara tetap kukuh dalam jangka sederhana dan panjang, berpandukan Pelan Pemulihan Nasional, prinsip-prinsip pengurusan kewangan yang berhemah dan pembaharuan yang dirancang melalui Perkukuh dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Kerajaan akan terus bertindak balas secara strategik dan proaktif di tengah-tengah persekitaran Covid-19 yang mencabar ini, di samping berusaha untuk meminimumkan sebarang parut kekal pada ekonomi akibat krisis pandemik ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










