PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 155 individu diberkas dengan seramai 149 dikompaun manakala enam lagi direman.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 96 premis yang meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup di seluruh negara kerana didapati masih ingkar SOP.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,791 kilang, 16,929 premis perniagaan, 935 tapak pembinaan dan 231 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, empat pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan empat kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain 918 sekatan jalan raya dilakukan di seluruh negara.
Menyentuh kuarantin wajib, katanya, seramai 507 individu tiba di tanah air semalam, dengan jumlah kumulatif seramai 270,042 sudah diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.
“Sejumlah 9,769 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelas Hishammuddin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 595 peruncit, 147 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,325 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terbabit didapati mematuhi peraturan.










