Ikrar Kabinet baharu demi Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

Ikrar Kabinet baharu demi Keluarga Malaysia

MOHAMED AZMIN ALI, HISHAMMUDDIN HUSSEIN dan MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kabinet baharu komited dan berikrar untuk menjalankan tugas masing-masing sejajar konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob demi aspirasi rakyat yang mahukan proses pemulihan negara berjalan lancar dan inklusif.

Walaupun baharu sahaja mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam, mereka 69 anggota Kabinet melibatkan menteri dan timbalan menteri dilihat bergegas ke kementerian masing-masing untuk menjalankan tugas.

Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau dan seluruh Jemaah Menteri akan terus mendukung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di dalam melaksanakan tugas. 

“Antara isu utama negara ketika ini adalah pemulihan ekonomi dan saya yakin rakyat akan terus didukung, ekonomi dimartabatkan demi Keluarga Malaysia,” katanya dalam Facebook beliau.

Perkara sama juga dikongsi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan berkongsi ikrar dan sumpah jawatan dalam Facebook miliknya.

“Saya Hishammuddin bin Hussein setelah dilantik memegang jawatan seorang anggota Jemaah Menteri dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi, dan mempertahankan perlembagaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata beliau terus bergegas ke Kementerian Pendidikan untuk mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah Pendidikan serta pengurusan tertinggi kementerian.

“Dalam tempoh 18 bulan berada di Kementerian Pendidikan sebelum ini, banyak perkara yang telah kami capai dalam usaha menambahbaik pendidikan negara. 

“Kami akan terus ikhtiarkan yang terbaik dan berusaha gigih untuk memperkasakan ekosistem pendidikan negara. Amanah yang diberi akan kami junjung sehabis baik,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan pelantikan ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul demi memastikan kelancaran pentadbiran negara dan juga kemajuan luar bandar.

“Insya Allah, dengan pengalaman di sepanjang karier politik saya akan dijadikan sebagai bekalan untuk saya memastikan segala agenda pemerkasaan masyarakat luar bandar sebagai salah satu agenda utama yang akan diterapkan di kementerian ini.

“Saya juga beriltizam untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, jujur dan berintegriti demi memastikan negara kita terus bergerak maju ke hadapan terutama dalam usaha kita menangani pandemik Covid-19 dan juga Pelan Pemulihan Negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya