PORT DICKSON: Juraian meteor Perseids dapat dilihat menerangi angkasa dekat sini bermula pukul 10.30 malam semalam sehingga awal pagi tadi.
Ketua Unit Baitul Hilal, Muzamir Mazlan berkata, pihak Balai Cerap Baitul Hilal bersama Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Sembilan kerajaan telah melaksanakan cerapan meteor berkenaan selama dua malam berturut-turut.
“Bagaimanapun, pada malam semalam merupakan malam kemuncak, namun, keadaan awan tebal. Bagaimanapun, kami melihat terdapat kemunculan beberapa kali juraian meteor sejak pukul 10.30 malam.
“Semasa kemuncak fenomena ini berlaku, dijangka secara purata sekitar 80 hingga 100 meteor sejam. Bagaimanapun, juraian meteor Perseids ini boleh dicerap bergantung keadaan cuaca,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan cerapan di Balai Cerap Baitul Hilal, Port Dickson semalam.
Nama Perseids adalah merujuk kepada titik kemunculan pancuran meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus.
Pancaran meteor Perseids berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle.
Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.
Sementara itu, jelas Muzammir, aktiviti pencerapan juga boleh dilakukan sehari sebelum dan hari kemuncak sekiranya langit malam tidak berawan bagi meningkatkan peluang untuk melihat meteor Perseids.
“Pancuran meteor Perseids selalunya bersinar dengan terang dan mudah dilihat sekiranya cuaca baik dan boleh menyaksikan fenomena itu hanya dengan menggunakan mata kasar dari lokasi yang gelap dan bebas dari pencemaran cahaya,” katanya.
Terdapat beberapa lokasi yang sesuai di Port Dickson untuk melihat meteor Perseids seperti di Pasir Panjang, Teluk Pelandok, Sungai Sekawang dan Kampung Orang Asli Bukit Kepong.
Selepas ini, juraian meteor geminids dijangka akan berlaku pada bulan Disember. -UTUSAN ONLINE