KUANTAN: Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini mengalami kekurangan bekalan kertas A4 ekoran penggunaan yang tinggi setiap hari untuk pelbagai urusan terutama dokumentasi di empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di sini.
Difahamkan, kertas A4 merupakan keperluan mendesak bagi setiap hospital demi memastikan urusan di PKRC yang dikendalikan berjalan lancar.
Ekoran kekurangan bahan bertulis itu di HTAA, sebanyak 100 kotak kertas A4 disumbangkan oleh Pas, UMNO dan juga MCA Indera Mahkota semalam.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Andansura Rabu kepada Ketua Penolong Pengarah (Sumber Manusia) HTAA, Asma Mahiddin di pekarangan hospital berkenaan.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Dr. Johan Mohd. Shah dan Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Indera Mahkota, Datuk Kwang Swee Yuen.
Ketika ditemui pemberita, Dr. Johan yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HTAA berkata, pihaknya menerima permohonan daripada Kelab Kebajikan dan Sukan hospital itu yang memaklumkan berhubung kekurangan bekalan kertas A4.
Jelasnya, beliau difahamkan penggunaan bahan itu adalah tinggi pada setiap hari untuk urusan pendokumentasian pesakit wabak Covid-19.
“Sebagai contoh, setiap hari empat keping kertas A4 digunakan untuk seorang pesakit, jika 1,000 pesakit sehari kertas digunakan 4,000 keping.
“Kalau jumlah pesakit lebih daripada 1,000 orang, lagi banyak kertas A4 yang digunakan, oleh sebab itu kertas A4 merupakan keperluan mendesak di hospital yang menguruskan PKRC,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Andansura berkata, buat permulaan, sebanyak 100 kotak kertas A4 disumbangkan kepada Kelab Kebajikan dan Sukan HTAA.
Menurutnya, diharap menerusi sumbangan itu, ia dapat membantu urusan pihak hospital sekali gus mengurangkan tekanan dan kekangan mereka ketika mengendalikan urusan harian di setiap PKRC.
“Kita berharap pihak-pihak tertentu turut sama membantu dalam kita mengharungi pandemik Covid-19 ini bersama-sama,” katanya. -UTUSAN ONLINE










