REMBAU: Seorang wanita hilang pendapatan sekelip mata selepas dia disahkan lumpuh akibat penyakit Sistemetik Lupus Eritematosus (SLE) sejak dua bulan lalu.
Anis Rhumaisyah Mohd. Bakri, 23, berkata, sebelum ini dia sudah dua tahun bekerja di sebuah kilang di Seremban manakala suaminya, Mohd. Izami Ruslan, 26, pula merupakan peniaga air kelapa secara kecil-kecilan.
Kini jelasnya, keadaan berubah apabila mereka hilang sumber pendapatan selepas dia lumpuh dan suaminya pula perlu menguruskannya yang sukar bergerak.
“Tetapi kami tidak patah semangat, jika saya sihat sedikit, kami suami isteri akan bangun seawal pukul 5 pagi untuk menyiapkan kuih muih untuk dijual ke kedai-kedai. Sekiranya jualan habis kami boleh dapat sebanyak RM25 sehari,” katanya.
Dia ditemui Utusan Malaysia ketika penyampaian sumbangan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Amal Anak Rembau (PAAR) di Kampung Bongek, Rembau, kelmarin.
Anis Rhumaisyah menjelaskan, dia sudah pun membuat permohonan kepada pihak Baitulmal bagi mendapatkan bantuan seperti lampin pakai buang, tongkat dan kerusi roda bagi memudahkan pergerakkannya.
Bagaimanapun menurutnya, status permohonan bantuan tersebut belum diketahui dan dia kini bergantung kepada sumbangan yang diberikan NGO dan pemimpin masyarakat.
“Sejak disahkan lumpuh, bahagian pinggang hingga ke hujung kaki sering kebas serta sukar digerakkan.
“Saya perlu memakai lampin serta bergerak menggunakan kerusi roda jika saya mendapat bantuan berkenaan ia sangat membantu meringankan sedikit beban kami,” katanya lagi.
Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0599541000081138 atas nama Anis Rhumaisyah.-UTUSAN ONLINE