KUALA NERUS: Krisis air yang melanda daerah ini dan Kuala Terengganu sejak 10 hari lalu memberi limpahan rezeki buat pengusaha-pengusaha inap desa (homestay) di sini selepas sekian lama hilang pendapatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Zita Homestay, Wan Rozita Wan Mohamad, 51, berkata, kesemua empat unit penginapannya di Kampung Telaga Batin di sini penuh dihuni pelanggan yang terkesan dengan masalah gangguan bekalan air.

Katanya, keadaan itu sekali gus membolehkannya meraih pendapatan mencecah RM3,000 dalam sekelip mata sepanjang tempoh krisis yang dijadualkan berlarutan hingga Isnin.
“Rata-rata pengusaha inap desa bersyukur dengan ‘durian runtuh’ ini kerana sudah terlalu lama premis kami sepi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hingga kini saya masih menerima panggilan untuk tempahan tetapi terpaksa ditolak memandangkan setiap unit sudah dihuni pelanggan secara jangka panjang,” katanya ketika ditemui semalam.
Krisis air terburuk Terengganu membabitkan seramai 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) di dua daerah itu berpunca akibat kerosakan utama pada paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) yang pecah di dasar Sungai Terengganu.
Wan Rozita berkata, prihatin dengan nasib pelanggan yang terjejas dengan masalah bekalan air, dia turut menawarkan diskaun hampir RM50 dengan penginapan tiga bilik dikenakan harga serendah RM180 satu malam daripada RM220 manakala penginapan empat bilik pula cuma RM200.

Sementara itu, Bendahari Koperasi Homestay Teluk Ketapang, Md. Azmi A. Aziz berkata, sehingga kini sebanyak 25 inap desa berbentuk rumah dengan kapasiti dua hingga empat bilik milik ahlinya dihuni pelanggan susulan masalah gangguan bekalan air.
“Kesemua inap desa itu berharga antara RM180 hingga RM280 satu malam manakala penginapan bilik sebanyak 20 unit turut penuh ketika ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE
