Henti banyak berpolitik, berebut kuasa, rasuah - Utusan Malaysia

Henti banyak berpolitik, berebut kuasa, rasuah

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi peringatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak terlalu banyak berpolitik serta merebut kuasa dan kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab utama untuk membela nasib rakyat.

Baginda tidak dapat menyembunyikan rasa dukacita dan kesal apabila melihat pergolakan, pertelagahan dan ketidaktentuan politik negara pada masa ini.

“Nampaknya ahli-ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar dari sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.

“Tidakkah ahli-ahli Yang Berhormat sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil, maka, rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor yang ke-14 hari ini.

Menurut Sultan Sharafuddin lagi, pemimpin-pemimpin politik perlu turun padang membantu rakyat yang berada di dalam kesusahan dan menderita di saat negara dan dunia berhadapan dengan gejala wabak Covid-19.

Terdahulu, negara berhadapan krisis politik dan perlembagaan apabila sebilangan Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga beliau akur dengan kehilangan majoriti dan meletakkan jawatan pada 16 Ogos.

Bagaimanapun, Muhyiddin dan ahli Parlimen lain dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas menyokong pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ini susulan terdapat banyak pesalah rasuah terutama melibatkan penjawat awam dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini.

“Beta kesal kerana masih ada yang tidak jujur di dalam melaksanakan amanah yang diletakkan kepada mereka sebagai penjawat awam dan pemimpin politik.

“Walaupun telah seringkali Beta ingatkan untuk tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah yang boleh merosakkan bangsa dan negara,” titahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN