SERDANG: Pasukan Bertindak Khas atau dikenali sebagai ‘Greater Klang Valley Special Task Force’ (GKV STF) berjaya menurunkan kes menunggu Covid-19 di bahagian kecemasan di hospital-hospital sekitar Lembah Klang.
Komander Bersama GKV STF, Brigedier Jeneral (Dr) Mohd Arshil Moideen berkata, pada permulaan, penubuhan pasukan tersebut dahulu, kes Covid-19 yang menunggu di bahagian kecemasan adalah sekitar 1,600 kes.
Bagaimanapun, katanya, kes tersebut menurun mendadak sehingga 160 kes di seluruh Lembah Klang, malah, berkemungkinan hanya puluhan kes di setiap hospital.
“Ini kerana vaksinasi sudah mencapai certain percentage, maka, kita tahu (ia membantu) apabila kita mencapai certain kadar peratusan.
“Bahkan, pesakit bagi kategori empat dan lima juga menurun membolehkan pesakit yang menunggu (di bahagian kecemasan) dirawat,” katanya kepada pemberita di PKRC MEps serdang.
Terdahulu, Markas Tentera Darat dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,000 anggotanya terlibat dalam operasi GKV STF yang melibatkan tiga tugasan utama untuk membantu Kementerian Kesihatan menangani Covid-19.
Katanya, tiga tugasan tersebut meliputi ‘Oxygen Carrier Team’ (Oscar) yang melaksanakan penukaran tangki oksigen; ‘Rapid Resupply Team’ (RRT) menguruskan penghantaran tangki oksigen daripada stor ke wad manakala ‘Body Management Team’ (BMT) bertanggungjawab menguruskan penghantaran mayat.
Menurut Mohd Arshil, GKV STF diwujudkan bagi menangani situasi kritikal penularan wabak COVID-19 serta memantapkan lagi tahap kesiagaan sistem kesihatan di kawasan Lembah Klang.
Katanya, di bawah organisasi itu, terdapat Tim Pematuhan dan Pemantauan serta tujuh kumpulan gerak kerja yang dipanggil kluster iaitu sumber manusia dan kewangan, epidemiologi, pusat penilaian Covid-19 (CAC) dan pemantauan di rumah, logistik perubatan dan am, penjagaan klinikal, sistem sokongan sosial petugas barisan hadapan serta komunikasi strategik.
“Beberapa langkah strategik diambil bagi mengoptimumkan perkhidmatan perawatan, mengurangkan penularan serta menyediakan perkhidmatan sokongan kepada komuniti dan petugas kesihatan dirangka bagi menangani dengan segera situasi semasa Covid-19.
“Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ketika ini adalah meningkatkan kapasiti katil, penjagaan ICU, bekalan oksigen, mobilisasi tenaga kerja, pemindahan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta, pengurusan logistik dan bantuan anggota dari ATM (Angkatan Tentera Malaysia) serta sukarelawan.
Tambah beliau, di dalam pelaksanaan pelan tindakan GKV JTF, logistik dan sumber manusia adalah dua perkara utama yang menentukan keberkesanan tindakan yang diambil.
“Dalam tempoh dua minggu gerak kerja GKV JTF ini, ATM melalui Tentera Darat telah membantu menghantar katil pesakit ke hospital di Lembah Klang, menguruskan ratusan mayat-mayat kes Covid-19 dan menguruskan penghantaran serta penggantian ribuan silinder oksigen di hospital-hospital utama di lembah klang,” katanya. -UTUSAN ONLINE