SEREMBAN: Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menggesa supaya hubungan di antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Parlimen dari parti itu dapat diharmonikan.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu demi kepentingan UMNO dan juga negara.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menggesa agar hubungan di antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan Ahli Parlimen UMNO mestilah diharmonikan demi kepentingan parti dan negara.
“Semoga UMNO diberi mandat oleh rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kepemimpinan UMNO Negeri Sembilan juga menyokong penuh ketetapan yang diputuskan MKT parti itu yang telah bersidang pada 3 Ogos lalu.
Beliau menambah, UMNO Negeri Sembilan juga menjunjung titah dan berpihak tanpa berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.
Katanya, ia sesuai dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO iaitu mendukung dan mempertahankan Perlembagaan negara, Perlembagaan negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.
Pada 3 Ogos lalu, MKT UMNO membuat ketetapan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN ONLINE










