PETALING JAYA: Kerajaan perlu menilai dan memberi penekanan terhadap kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 setiap minggu sama ada terdapat peningkatan atau penurunan ekoran penularan wabak.
Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital terutama yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan juga penting bagi menilai sama ada kes jangkitan dapat dikawal dengan berkesan atau tidak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, jika kadar kematian dan jumlah pesakit kritikal dapat diatasi, secara tidak langsung memudahkan kerajaan menguruskan jangkitan wabak dengan berkesan.
“Sekarang bukan lagi melihat kepada berapa ramai yang disahkan positif Covid-19 kerana jangkitan terus menular dalam komuniti. Tetapi, yang menjadi titik tolak dalam hal ini adalah bagaimana kerajaan berusaha untuk meminimumkan kadar kematian.
“Adakah rawatan yang diberikan kepada pesakit tidak optimum, tidak dirawat dengan sebaik mungkin atau ramai yang enggan ke hospital mendapatkan rawatan di peringkat awal atau hospital sendiri sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit.
“Jika dibandingkan dengan kadar kematian di negara lain, kadar kematian kita jauh lebih tinggi dan merisaukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin berkata, negara dijangka mencapai kemuncak jangkitan harian Covid-19 sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu lagi khususnya di Lembah Klang.
Bagaimanapun, rata-rata pakar perubatan berpandangan jumlah kes jangkitan harian bukan perkara yang perlu dibimbangkan sebaliknya pesakit yang cenderung untuk menghidap penyakit lebih kritikal sehingga berdepan maut.
Senada dengan Dr. Sazaly, Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Dr. Adlina Suleiman berkata, kerajaan disaran mengambil pendekatan yang digunakan negara luar untuk mengawal keadaan wabak.
Katanya, hal ini terutama bagaimana untuk memastikan pesakit kategori tiga, empat dan lima tidak merekodkan peningkatan mendadak setiap hari atau minggu.
Selain itu, beliau menyeru orang ramai mengamalkan pemakanan yang baik dengan memperbanyakkan sayur-sayuran, buah-buahan, makanan berprotein, probiotik dan prebiotik untuk meningkatkan daya tahan seseorang.
“Negara perlu mendapatkan pandangan dan perkongsian di peringkat antarabangsa bagaimana sesetengah negara sudah berjaya mengawal pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE










