TUMPAT: Rumah pusaka didiami enam beranak di Kampung Tujoh, di sini terlalu daif hingga perlu berhati-hati setiap kali mahu memijak lantai kerana kebanyakan tempat sudah reput serta berlubang-lubang.
Selain lantai, bahagian dinding juga turut mereput dimakan anai-anai manakala bumbungnya pula bocor teruk di sana-sini. Pendek kata, menanti masa untuk roboh.
Lantaran dibelenggu kemiskinan, Yusnaini Nasir, 30, yang turut menggalas amanah menjaga neneknya, Kelthom Ali, 80, tiada pilihan kecuali terus berteduh di situ bersama suami dan tiga anak berusia dua hingga sembilan tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yusnaini berkata, keluarganya menumpang rumah pusaka milik nenek sejak 10 tahun lalu dan terus bertahan di situ kerana tidak mampu menyewa rumah di tempat lain.
“Saya akui rumah nenek ini terlalu daif dengan lantai papan dan dinding berlubang, bumbung pula bocor manakala belakang rumah sudah makin condong, namun, kami tidak mampu baiki kerana suami hanya kerja kutip besi buruk.
“Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pendapatan suami terjejas kerana tidak bebas merayau. Sekarang, baru keluar cari besi buruk semula, namun, nak dapat RM50 sehari pun susah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Yusnaini, dia tidak dapat keluar bekerja membantu suami kerana anak-anak masih kecil selain perlu menjaga neneknya yang hanya mampu mengengsot perlahan-lahan selepas diserang angin ahmar 10 tahun lalu.
“Saya bersyukur nenek layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga.
“Sebelum ini, penghulu ada memberi sumbangan kepingan zink baharu bagi menggantikan bumbung yang bocor. Saya harap ada lagi pihak yang sudi bantu kami baik pulih dinding dan lantai yang reput,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Yusnaini sendiri di talian 014-6969 967. -UTUSAN ONLINE