MACHANG: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan pemberian elaun tambahan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang terlibat secara langsung dengan pengurusan jenazah pesakit Covid-19.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, segala pengorbanan petugas JPBM ketika melakukan kerja-kerja tersebut biarpun berdepan risiko dijangkiti virus Covid-19 wajar dihargai.

“Sekarang mungkin sudah ada yang terima elaun khas pengurusan Covid-19 dan sebagainya, tapi itu asinglah. Saya rasa boleh pertimbangkan (cadangan elaun tambahan) kerana risikonya tinggi.
“Memandangkan pengurusan Covid-19 sudah menjadi tanggungjawab bersama walaupun bukan kerja mereka, jadi kita akan bincang perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Belah di sini hari.
Sementara itu, Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin memberitahu, seramai 60 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) bertugas menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di seluruh negeri.
Katanya, bagi meringankan beban unit tersebut, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di setiap daerah yang terlibat akan turut membantu setiap urusan pengebumian jenazah pesakit.
“Buat masa sekarang mereka yang terlibat dengan kes Covid-19 ini diberikan elaun khas RM100 dan elaun khas Covid-19 RM200 mengikut syarat ditetapkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE