Dua lelaki ditahan ketika sedang bungkus dadah - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan ketika sedang bungkus dadah

SEJUMLAH dadah yang dirampas polis dalam serbuan di dalam sebuah kebun getah di Felda Lui Selatan, Jempol semalam. Serbuan tersebut turut menahan dua orang lelaki.-IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Polis telah menahan dua lelaki dan merampas dadah seberat 30.8 gram dalam serbuan di dalam sebuah kebun getah di Felda Lui Selatan, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam serbuan pukul 4.05 petang itu, kedua-dua yang ditahan itu masing-masing berusia 40 dan 35 tahun.

Ujar beliau, ketika serbuan dibuat, kedua-dua suspek sedang membungkus dadah di kebun getah tersebut yang dikenal pasti sebagai tempat pembungkusan dadah.

“Hasil serbuan turut menemukan empat bungkusan plastik lutsinar pelbagai saiz berisi disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 22.5 gram.

“Turut ditemukan satu peket plastik lutsinar di dalamnya terdapat empat peket plastik lutsinar ketulan-ketulan jernih bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 8.3 gram.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Chang Hook, hasil ujian air kencing, kedua-dua lelaki berkenaan dikesan positif dadah.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu masing-masing dengan enam rekod dan empat rekod berkaitan dadah dan jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Polis turut menyita dua buah motosikal masing-masing jenis Honda RS150 dan SYM E-Bonus untuk siasatan lanjut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN