Dua anggota polis maut ketika kejar suspek lumba haram - Utusan Malaysia

Dua anggota polis maut ketika kejar suspek lumba haram

gambar media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Dua anggota polis maut selepas terbabit kemalangan ketika mengejar suspek lumba haram dalam Operasi Samseng Jalanan di Kilometer 24.4 Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang menghala ke Putrajaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang maut iaitu Sarjan Mohd. Arifah Md Yassin, 36, dan Konstabel Mohd. Muradzi Mohd Nawi,26 dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

gambar media sosial

Difahamkan kedua-dua mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang mana Mohd. Arifah bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) manakala rakannya, Mohd. Muradzi bertugas di Cawangan Jenayah (D4).

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ketika kejadian, mereka sedang bersama-sama melakukan tugas dalam Operasi Samseng Jalanan BSPT IPD Kajang di laluan terbabit yang sering digunakan samseng jalanan untuk berlumba.

“Kedua-dua mangsa, masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 115Z dan Yamaha RXZ mengejar suspek lumba haram dalam operasi itu.

“Ketika sedang mengejar, mangsa yang menunggang Yamaha 115Z dari arah Kajang bertembung dengan motosikal rakannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaid berkata, akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Jenazah mereka dibawa ke Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dibuat bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya