Dinding dapur rumah runtuh kesan tragedi kepala air - Utusan Malaysia

Dinding dapur rumah runtuh kesan tragedi kepala air

RAHMAH Ismail melihat dinding bahagian dapur rumahnya yang runtuh selepass kejadian kepala air di Kampung Batas Ubi, Yan, Kedah, hari ini. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang ibu tunggal terkejut melihat dinding bahagian dapur rumahnya runtuh secara tiba-tiba selepas seminggu tragedi kepala air berlaku di Gunung Jerai di sini.

Rahmah Ismail, 66,  yang tinggal di Kampung Batas Ubi di sini berkata, dinding tersebut dipercayai runtuh selepas berlaku tanah mendap kesan daripada tragedi ‘Tsunami Jerai’.

Katanya, dinding bahagian dapur itu didapati berada dalam keadaan tidak stabil selepas dihentam arus deras bersama lumpur dalam tragedi tersebut.

“Rabu lalu, selepas genap seminggu kejadian kepala air berlaku, dinding bahagian dapur rumah saya setinggi tiga meter dan lebar empat meter itu tiba-tiba runtuh pada pukul 9 malam.

“Sebelum runtuh, struktur dinding tersebut didapati senget, selain terdapat kesan mendapan tanah di kawasan rumah saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rahmah yang berniaga di gerai makanan di Guar Chempedak, di sini berkata, ketika kejadian dia tinggal berseorangan manakala empat anaknya yang telah berkeluarga tinggal di luar daerah.

Tambahnya, ketika dinding bahagian dapur rumahnya runtuh, dia sedang berada di ruang tamu sambil menonton televisyen.

“Saya terkejut mendengar bunyi runtuhan yang kuat dari arah dapur sebelum bergegas melihat dan tergamam mendapati dinding dapur runtuh,” ujarnya.

Menurutnya, rumah didudukinya adalah peninggalan suaminya dan dia tinggal berseorangan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, dia kini bimbang rumahnya itu boleh runtuh pada bila-bila masa memandangkan struktur dinding utama rumahnya juga kelihatan tidak stabil.

“Saya berharap agensi kerajaan terlibat dapat membantu membaik pulih rumah saya ini dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Dalam kejadian kepala air yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu, seramai enam penduduk terkorban.

Selain itu, sebanyak  1,732 rumah, 124 premis perniagaan dan 14 pengusaha chalet di Yan dan Tupah, Merbok, Kuala Muda terjejas dalam kejadian itu.

Tragedi kepala air itu dipercayai berlaku berikutan hujan lebat yang luar biasa di puncak Gunung Jerai pada hari kejadian. – UTUSAN  ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN