Dikhuatiri wujud elemen salah guna kuasa - Utusan Malaysia

Dikhuatiri wujud elemen salah guna kuasa

MOHD. ZAINUDDIN OMAR dan MEGAT AL-IMRAN YASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Ahli Parlimen pembangkang bagi meraih sokongan supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal berfungsi, boleh menimbulkan kegusaran dan dikhuatiri disalah anggap sebagai suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) (Akta 694).

Di bawah Seksyen 21 akta berkenaan, tawaran tersebut yang diberi dengan syarat sokongan boleh dilihat sebagai suatu dorongan kepada pegawai badan awam untuk mengundi menyokong usul yang memihak kepada pihak yang membuat tawaran, boleh dilihat sebagai suatu kesalahan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia  semalam, Peguambela & Peguamcara, Mohd. Zainuddin Omar berkata, sekiranya tawaran dibuat atas kapasiti sebagai anggota pentadbiran, perkara tersebut juga boleh dilihat sebagai suatu pelanggaran kepada seksyen 23 akta tersebut.

“(Sebagai contoh), kenaikan gaji mana-mana pegawai badan awam adalah sesuatu yang lazim dan biasa oleh anggota pentadbiran, tetapi, apabila ia diberikan secara bersyarat, ia boleh menimbulkan salah faham dan salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.

“Lebih-lebih lagi dalam masa sekarang yang mana masyarakat lebih peka dan menentang amalan rasuah,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, pegawai badan awam mengikut tafsiran Akta 694 itu ialah mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pengkhidmat sesuatu badan awam dan termasuklah anggota pentadbiran (menteri atau timbalan menteri – mengikut tafsiran Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan), ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri.

Menurut beliau, isu tawaran Perdana Menteri ini sememangnya boleh ditafsir ada inducement atau dorongan oleh seseorang yang ada kepentingan dan ada kuasa sekali gus boleh jatuh di bawah Akta SPRM.

Ini kerana, katanya, penggunaan ayat ‘sekiranya kerajaan berjaya mendapat sokongan…’ bermakna ada inducement apabila meletakkan syarat oleh seorang yang mempunyai jawatan serta menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kepentingan.

“Apa yang Muhyiddin buat, satu kenyataan yang kurang cermat dan tidak wajar kerana boleh menimbulkan salah tanggapan, satu syak wasangka dan penyalahgunaan kuasa.

“Sama ada benar atau tak hanya mahkamah yang boleh tentukan. Tetapi, apabila ada tawaran ini, boleh timbul tanggapan wujud elemen penggunaan kuasa untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Megat Al-Imran Yasin berkata, apa-apa bentuk pemberian untuk orang berubah hati menyokong adalah satu sogokan.

Beliau berkata, sogokan pemberian ini juga disebut dalam istilah politik adalah satu bentuk diplomasi untuk menyebabkan lawan berasa lunak.

“Situasi sekarang umpama kemuncak kepada perang politik ala Machiaveli iaitu matlamat menghalalkan cara. Ada menggunakan pelbagai cara hatta mengangkat al-Quran untuk berdamai. Tapi niat di hati siapa yang tahu. Adakah benar-benar benar jujur dan ikhlas atau semata helah politik pada ketika itu.

“Dalam perang politik seumpama ini seolah tiada etika dan tiada peraturan. Meskipun peraturan itu ada dalam akta dan sebagainya, mampukah ia dilaksana? Hanya mereka yang lihat dari kaca mata berbeza memberi interpretasi dan nilaian berbeza,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN