JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,984 saman bernilai RM2.19 juta dikeluarkan menerusi operasi Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura sejak 1 Julai 2025 sehingga kelmarin.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, 82,987 kenderaan Singapura diperiksa dalam tempoh itu di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta Taman Daya di sini.
Katanya, saman yang dikeluarkan wajib dibayar serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia mengikut Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita keluarkan notis saman kepada pemilik atau pemandu kenderaan persendirian individu dan persendirian syarikat yang tidak mendaftar VEP atau VEP tamat tempoh serta kenderaan masih berstatus pradaftar,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan VEP Bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di susur keluar CIQ BSI di sini, malam tadi.
Aedy Fadly berkata, JPJ akan memastikan tahap pematuhan tinggi dalam kalangan kenderaan berpendaftaran asing, di samping mengekang ketirisan subsidi bahan api negara khususnya petrol RON95.
“Sementara itu, sebanyak 391,007 tag pengecaman frekuensi radio (RFID) telah dikeluarkan sejak Khamis lalu dengan status pemasangan tag aktif melibatkan 322,048 kenderaan persendirian individu manakala 14,771 kenderaan belum aktif.
“Bagi kenderaan persendirian syarikat pula, sebanyak 47,496 tag RFID aktif manakala 7,792 tag lagi tidak aktif,” katanya. – UTUSAN










