Covid-19 tidak halang Kampung Bendahara dipenuhi Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Covid-19 tidak halang Kampung Bendahara dipenuhi Jalur Gemilang

HASSRI Abdul Kadir (kiri) menghiasi replika bangunan KLCC dengan bendera Jalur Gemilang sambil diperhatikan oleh Mohd Karim Wagiman bagi sambutan Hari Kebangsaan ke 64 di Kampung Bendahara disini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang ramai yang memasuki Kampung Bendahara yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru pastinya terpegun dengan keindahan setiap rumah yang dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang.

Menariknya setiap pemilik rumah berlumba-lumba menghiasi rumah mereka dengan menggantung bendera Malaysia dengan pelbagai bentuk yang kreatif meskipun ketika masih berdepan pandemik Covid-19.

Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Masjid Kampung Bendahara, Mohd. Karim Wagiman, 70, berkata, tradisi menghias Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan bermula awal Ogos hingga 16 September merupakan acara tahunan kampung itu.

“Tradisi menghias bendera sudah masuk tahun ke-20 bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-64 dan bulan kemerdekaan.

“Setakat ini sudah 40 peratus rumah di Kampung Bendahara ini menghias bendera dan berharap banyak lagi rumah akan memasang bendera sekurang-kurangnya dua helai atau lebih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohd. Karim, pada tahun ini mereka tetap mengadakan pertandingan menghias bendera peringkat kampung meskipun Jabatan Penerangan tidak menganjurkannya berikutan pandemik Covid-19.

Setiausaha KRT Kampung Bendahara, Zainal Abidin Shuib, 65, pula berkata, sambutan orang ramai untuk menghias bendera di rumah juga masih agak perlahan.

Justeru, dia berharap pemilik rumah dapat memasang bendera sebagaimana tahun-tahun sebelum ini yang meriah dengan kibaran Jalur Gemilang di hadapan rumah masing-masing.

Sementara itu, Hassri Abdul Kadir, 55, berkata, hanya kira-kira 120 helai bendera memenuhi pekarangan rumahnya kali ini berbanding 220 tahun lepas.

Dia yang telah memenangi banyak pertandingan menghias Jalur Gemilang peringkat kampung dan individu serta peringkat negeri tetap bersemangat walaupun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Saya mula memasang bendera sejak enam tahun lalu setiap kali menjelang bulan ogos sehingga 16 September Hari Malaysia dengan membuat beberapa replika antaranya meriam, wau dan menara berkembar KLCC.

“Semangat dan cintakan negara amat menebal dalam diri kami, justeru itu dengan mengibarkan bendera Malaysia dapat menaikkan semangat patriotik dan nasionalisme kepada tanah air. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN