Covid-19 di Perlis meletus, 61 kes baharu - Utusan Malaysia

Covid-19 di Perlis meletus, 61 kes baharu

JUMLAH kes Covid di Perlis terus meletus dengan peningkatan kes setiap hari sejak kebelakangan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Gelombang jangkitan Covid-19 di Perlis semakin meletus apabila 61 kes baharu dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif sebanyak 246 kes.

Manakala jumlah kes kumulatif di Perlis pula telah mencecah empat angka iaitu 1,021 dengan setakat ini kekal dengan 13 kematian.

Selain Kuala Perlis yang mencatatkan 53 kes, jumlah kes di Sanglang dan Chuping terus meletus, masing-masing dengan 37 dan 28 kes selain beberapa kawasan lain yang terus menunjukkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, usaha keras untuk memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah diranapkan dengan kes jangkitan yang meningkat setiap hari kebelakangan ini.

Katanya, sebahagian kecil daripada kalangan masyarakat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya akhirnya menjadi salah satu penyebab utama kes meningkat semula.

Ujarnya, berdasarkan sumber-sumber tertentu, beliau berpandangan jumlah kes positif di Perlis akan terus meningkat dalam masa terdekat.

“Kenapa saya berpandangan sedemikian, sebabnya, di Perlis, sudah ada kluster kilang yang agak besar, iaitu kilang Shorubber di Jejawi.

“Sebahagian daripada pekerja kilang tempatan dan warga asing telah pun didapati positif. Mereka ini telah menyumbang kepada jangkitan kepada individu-individu lain di dalam masyarakat.

“Saya difahamkan, seramai 129 individu menjadi kontak rapat kluster Shorubber telah diarahkan untuk kuarantin. Sebahagian daripada operasi kilang juga telah diarahkan tutup,” katanya.

Tambah Azlan, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan penularan wabak berkenaan.

“Kerana kita masih perlu untuk terus berusaha untuk menangani situasi ini dan tidak boleh berundur ke belakang. Dan saya masih menaruh harapan agar bilangan kes terkawal dan semakin menguncup semula,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN