PETALING JAYA: Pertubuhan Pusat Data Usahawan dan Ekosistem Malaysia (MEEDC) menyasarkan untuk membuka 222 Pusat Khidmat Usahawan di semua kawasan Parlimen di Malaysia bagi memantau dan menggalakkan pendidikan keusahawanan di kawasan tersebut.
Presidennya, Tengku Adena Tengku Abdullah berkata, Pusat Khidmat Usahawan tersebut akan berfungsi sebagai pusat pemantauan pendidikan pembangunan perniagaan keusahawan di setiap wilayah yang terlibat.
Kata beliau, MEEDC bertindak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi penyokong utama kerajaan dalam memperkasakan pembangunan ekonomi dan keusahawanan di peringkat akar umbi di seluruh wilayah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pandemik memberi cabaran yang besar untuk usahawan khususnya golongan bumiputera. Ada yang gulung tikar, muflis dan ada juga yang berputus asa.
“Berpandukan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, MEEDC menjadikan enam teras utamanya sebagai panduan utama untuk membimbing dan membina pembudayaan keusahawan di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tengku Adena, pihaknya akan memberi fokus kepada industri-industri seperti perikanan dan pertanian yang dijadikan sumber utama kepada kegiatan industri pengeluaran produk makanan halal untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, kata beliau, MEEDC juga telah merangka dan memperkenalkan program pada tahap kebangsaan iaitu Pemecut SME2IPO yang diilhamkan Penasihat Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Khusairi Bani Hashim AlHaj.
“(Program itu) untuk usahawan-usahawan yang berhasrat membina syarikat mereka sehingga disenaraikan di Bursa Saham Malaysia dalam masa lima hingga tujuh tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE