Banjir: Hasrat mulakan ternakan terbantut - Utusan Malaysia

Banjir: Hasrat mulakan ternakan terbantut

FATIMAH SABRAN berjalan dekat kawasan luar rumahnya memerhatikan keadaan banjir ‘termenung’ yang menenggelamkan kediamannya sejak Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Hasrat sebuah keluarga di di Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini yang mahu berjinak-jinak dengan penternakan itik dan arnab terbantut apabila kesemua ternakannya musnah akibat banjir, Khamis lalu.

Menurut Noraini Othman, 53, penternakan itu baru diceburi keluarga yang diuruskan anak-anaknya sebagai satu sumber pendapatan terutamanya dalam mendepani penularan pandemik Covid-19.

NORAINI OTHMAN

Bencana itu tidak dijangka apabila hanya menyedari pekarangan rumahnya digenangi air setinggi hampir satu meter pada pukul 7 pagi selepas hujan lebat turun seharian pada Rabu lalu.

Dia menyedari air sudah menenggelamkan bahagian luar rumahnya ketika hendak keluar membawa suaminya ke Hospital Tanjong Karang bagi menghadiri janji temu doktor.

“Baru mula ternak itik dengan arnab. Habis 30 ekor itik dengan enam ekor arnab mati. Baru hendak mula berjinak-jinak ternak haiwan untuk dijual sebagai sumber pendapatan.

“Tak tahulah banjir pukul berapa, sebab buka pintu rumah baru nampak air sudah penuh dekat kawasan luar. Baru berapa hari hujan (Khamis lepas). Tetapi satu hari juga air bergenang.

“Ketika itu, hendak keluar hantar suami pergi janji temu doktor di Hospital Tanjong Karang. Hendak keluar, kena tunggu surut dahulu barulah ‘menapak’ tolak kerusi roda suami pergi ke jalan besar untuk naik kereta. Tolaklah kerusi roda dalam air,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Noraini menambah, kejadian banjir dekat kawasan rumahnya di Lorong 1 Sungai Kajang Lama kerap berlaku terutama sekali bila air laut pasang besar, namun, tidak menyangka sehingga menenggelamkan sebahagian rumahnya dan mengakui itu adalah yang pertama kali berlaku.

Sementara itu, sebuah lagi keluarga tinggal di Kampung Blok B, Sawah Sempadan di sini turut gusar dengan masalah banjir ‘termenung’ yang menyebabkan rumahnya ditenggelami air melebihi paras pinggang.

Fatimah Sabran, 74, memberitahu, dia biasa dengan keadaan banjir dekat kampungnya apabila menyedari tempat itu merupakan kawasan tadahan air selain berhampiran dengan sungai dan tali air.

Bagaimanapun, katanya, kali ini, air datang dengan cepat dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang elektrik seperti peti ais dan mesin basuh.

“Banyak belanja, yang tenggelam itu peti ais dan mesin basuh. Tetapi, tak (terkiralah) beribu juga kos kerugian. Mesin basuh itu tenggelam, lambat angkat habislah. Kalau tak dalam, standby bangku selamatlah.

Kalau hujan lama sudah boleh standby siap-siap angkat barang naik atas bangku. Cuma kalau air datang mengejut memang tak sempat buat apa. Tetapi jaranglah mengejut. Tetapi musim ini, memang mengejut. Air terus naik mendadak, sebelum ini naik sedikit-demi sedikit boleh nampak dari belakang rumah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya