Awalkan undi percaya kepada PM - Utusan Malaysia

Awalkan undi percaya kepada PM

KERAJAAN perlu membentangkan Rang Undang-undang Antilompat Parti dalam sesi akan datang untuk dibahas dan diluluskan bagi menjamin kestabilan kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 boleh diadakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa pe­mimpin politik daripada blok pembangkang mahu pembentangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilakukan segera iaitu sebelum sidang Parlimen, bulan depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini supaya urusan itu tidak mengganggu agenda-agenda pembentangan lain termasuk pembentangan Bajet 2022.

“Kami sangat bersetuju usul undi percaya diawalkan daripada sidang Parlimen nanti kerana tidak mahu mengganggu sesi belanjawan dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK) yang akan dibentang September nanti,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menyarankan Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen sehari bagi membentangkan Usul Undi Percaya sebelum perasmian persidangan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 6 September ini.

Jelas beliau, ini supaya titah Seri Paduka sesuai dengan kerajaan yang sah dan dibahaskan dalam Dewan Rakyat selepas ahli Parlimen menyelesaikan masalah keabsahan kedudukan Perdana Menteri.

Dalam pada itu Guan Eng menambah, kerajaan ataupun Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh menolak usul tersebut kerana Perdana Menteri telah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan undi percaya menerusi Parlimen.

“Saya tidak rasa dia (Yang Dipertua Dewan Rakyat) akan mengetepikan dan tidak menaikkan usul undi percaya atau tidak percaya itu kerana itu adalah perbuatan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Perdana Menteri sudah menjanjikan kepada Seri Paduka. Itu juga adalah di bawah Peraturan Mesyuarat.

“Kalau sekiranya kerajaan syorkan, Speaker tidak boleh halang. Sekiranya dia halang, dia bukan sahaja derhaka kepada Agong tetapi juga kepada Perlembagaan Persekutuan. Itu tidak boleh berlaku kerana beliau boleh dipecat,” katanya.

Senada dengan Ahli Parlimen Bagan itu, Timbalan Pre­siden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya juga berpendapat supaya usul undi percaya terhadap Muhyiddin dan kerajaannya perlu diawalkan.

“Pandangan saya sepatutnya hari ini telah terbukti dengan kenyataan-kenyataan serta surat akuan daripada parti telah menentukan bahawa PN secara keabsahan sudah hilang majoriti. Bila Perdana Menteri hilang majoriti, beliau perlulah meng­hadap Agong dan memaklumkan beliau sudah hilang majoriti.

“Jadi tidak perlu tunggu sampai bulan depan sehingga tarikh sidang Parlimen nanti. Ini bagi saya bukan satu keputusan yang bijak kerana saya tegas berpendapat ia harus lakukan sekarang,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN