Atan Kertih masuk perangkap, kemunculan harimau undang pemburu haram - Utusan Malaysia

Atan Kertih masuk perangkap, kemunculan harimau undang pemburu haram

HARIMAU belang jantan digelar Atan Kertih yang berusia setahun setengah akhirnya ditangkap di ladang kelapa sawit Felda Kertih 4 di Ketengah Jaya, Dungun, hari ini. - NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seekor harimau belang jantan berusia setahun setengah yang sebelum ini menjadi ancaman kepada peneroka di ladang kelapa sawit Felda Kertih 4 di Ketengah Jaya di sini akhirnya ditangkap semalam. (Jumaat)

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, harimau belang digelar ‘Atan Kertih’ seberat 70 kilogram itu dikesan memasuki perangkap selepas diumpan dengan seekor kambing ketika pemeriksaan dilakukan oleh anggotanya di sebelah pagi. 

Beliau tidak menolak kemungkinan haiwan liar itu merupakan antara lima ekor harimau yang dirakam kamera perangkap sejak Jun lalu.

ABDUL KADIR ABU HASHIM

“Atan Kertih sihat tanpa sebarang kecederaan dan ini merupakan harimau belang pertama ditangkap selepas 20 tahun kita tiada tangkapan Pak Belang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi menyelamatkan harimau, hari ini.

Awal bulan lalu, Perhilitan mengesan lima harimau belang yang terdiri daripada induk dan empat anak yang dipercayai sering menyerang ternakan penduduk.

Abdul Kadir berkata, Atan Kertih yang dipercayai keluar dari Hutan Simpan Rasau itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Haiwan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk pemantauan. 

Katanya, Perhilitan percaya terdapat tujuh harimau yang menyerang ternakan penduduk di ladang berkenaan sejak 2019 dengan ancaman menjadi semakin kerap bermula tahun lalu. 

“Setakat ini, lebih 240 ekor ternakan menjadi mangsa serangan Pak Belang dan kita akan meneruskan operasi bagi memastikan kesemua harimau di sini berjaya ditangkap,” katanya. 

Pada 22 Februari lalu, Perhilitan menyelamatkan harimau belang jantan digelar ‘Awang Rasau’ di ladang kelapa sawit Felda Kertih 2 yang dipercayai ditembak pemburu haram, namun haiwan liar itu mati 12 hari kemudian kerana komplikasi saraf di samping kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka kakinya.

Sementara itu dalam isu berkaitan Abdul Kadir berkata, pihaknya mengesahkan kemunculan harimau belang yang menyerang  ternakan penduduk di ladang kelapa sawit Felda Kertih 4 di Ketengah Jaya di sini mengundang pemburu haram.

Menurut beliau, pihaknya menemui 10 jerat dawai dan ran dipercayai milik pemburu haram, sejak tahun lalu.

“Kita mengenal pasti ada cubaan pemburu haram yang masuk ke kawasan ladang ini untuk memburu harimau belang dan haiwan liar lain. 

“Bagaimanapun, kesemua jerat dipasang itu telah dimusnahkan dan secara tidak langsung kita berjaya menyekat pemburu haram menerusi operasi yang dijalankan sejak tahun lalu,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan helah segelintir individu yang mendakwa sebagai penembak persendirian dan bersedia menawarkan khidmat menangkap spesies terancam itu secara percuma.

Abdul Kadir berkata, nilai harimau belang mencecah lebih RM200,000 dan selain kulitnya yang diminati ramai, ramai percaya anggota badan haiwan berkenaan mujarab bagi tujuan perubatan.

Dalam perkembangan sama, katanya, harimau yang dipercayai keluar dari Hutan Simpan Rasau yang seluasa 16,000 hektar itu berkemungkinan kerana habitatnya terancam.

Katanya, sebanyak 40 kamera perangkap telah dipasang di ladang kelapa sawit Felda Kertih 4 dan sehingga kini pihaknya mengenalpasti terdapat tujuh ekor harimau yang sering berkeliaran dengan seekor yang digelar ‘Atan Kertih’ ditangkap semalam. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN