KEMUNCULAN semula tokoh politik ‘senior’ yang juga anak raja, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar ke dalam UMNO menimbulkan pelbagai persoalan kenapa beliau kembali memilih parti berkenaan.
Dilahirkan pada 21 Julai 1949, Tengku Azlan ialah bekas Ahli Parlimen Jerantut (1999 hingga 2013) dan pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan serta Ketua UMNO Bahagian Jerantut.
Pada 2018, Tengku Azlan memilih menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Temerloh pada pemilihan parti itu pada Mac tahun lalu.
Selepas hampir tiga tahun meninggalkan UMNO, anak raja berkenaan kembali ke pangkuan parti itu selepas meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Temerloh berkuat kuasa serta merta kelmarin.
Apa dinyatakan Tengku Azlan selepas perletakan jawatannya daripada Bersatu kelmarin adalah beliau membuat keputusan itu kerana yakin UMNO menjadi tunjang perjuangan orang Melayu dan Islam.

Selain itu, Tengku Azlan turut menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah institusi tertinggi dalam negara dan rakyat seharusnya mendukung demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan seperti termaktub dalam Rukun Negara.
Pada 26 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kerajaan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu dan ia mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses sewajarnya selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baru-baru ini, Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang telah dibuatkan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat sedangkan pembatalan ordinan tersebut belum mendapat perkenan Baginda.
Selepas daripada itu, kemelut politik negara turut berlaku dan berterusan sehingga kini dan ia ternyata semakin menggoyah kestabilan dan keteguhan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan negara. – UTUSAN










