[VIDEO] Anak sungai bertukar berwarna hitam, berbau busuk - Utusan Malaysia

[VIDEO] Anak sungai bertukar berwarna hitam, berbau busuk

PENDUDUK kampung menunjukkan anak Sungai Air Salak yang berubah warna menjadi hitam serta berbau busuk di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Tampin, hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Penduduk di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, di sini, kesal kerana terpaksa menanggung bau busuk anak Sungai Air Salak yang dakwa mereka telah tercemar disebabkan air kumbahan dari sebuah ladang ternakan ayam.

Salah seorang penduduk, Kamaruddin Abu Samah, 66, berkata, dia menyedari air anak sungai berkenaan telah bertukar berwarna hitam pada pagi hari Selasa lalu.

“Pada mulanya, saya mahu membersihkan kebun, cadang nak ambil air sungai ini untuk siramkan pokok tebu, saya lihat air berwarna hitam.

“Tidak tergamak saya nak mengambil air ini untuk buat siram pokok, baunya sangat busuk,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pencemaran di Kampung Batang Rokan, di sini hari ini.

Menurut seorang lagi penduduk, Roslan Mohd. Akhir, 54, dia terpaksa menghidu bau busuk itu sejak Selasa lalu kerana rumahnya hanya terletak kira-kira 500 meter dari sungai terbabit.

PENCEMARAN anak Sungai Air Salak yang berubah warna menjadi hitam serta berbau busuk di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Tampin. – VIDEO/NOR AINNA HAMZAH

“Bau busuk lebih kuat apabila hari panas dan pada waktu lewat malam,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batang Rokan, Malek Samsudin berkata, dua tahun lalu sungai di kawasan berkenaan pernah tercemar dipercayai disebabkan oleh pencemaran yang sama.

Katanya, sebelum kejadian pencemaran ini berlaku, pihaknya baharu sahaja mencari penyelesaian bagi masalah lalat di kampung berkenaan yang disebabkan oleh aktiviti di ladang ayam.

“Ladang ternakan ayam ini sudah lebih 10 tahun beroperasi, kali ini pencemaran bau dan sungai berlaku lagi. Saya harap agar masalah ini tidak berpanjangan dan operasi ladang ayam di sekitar kawasan berkenaan dapat dipantau daripada semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Abd. Latif A.Tambi berkata, aduan berkenaan masalah akan dibawa kepada perhatian ahli Exco kerajaan negeri di bawah portfolio berkaitan.

“Kami berharap agar jabatan berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian dapat memantau masalah ini terutamanya di Gemencheh kerana di lokasi ini sahaja terdapat 21 ladang ayam berlesen yang beroperasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN