Anak sulung Harussani meninggal dunia selepas positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Anak sulung Harussani meninggal dunia selepas positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Anak sulung bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria, A. Abdul Hakim Mazhar, 54, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini setelah positif Covid-19.

Adik bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi berkata, abangnya meninggal dunia pada pukul 3.16 pagi ini setelah dirawat di hospital berkenaan sejak Sabtu lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, abangnya mempunyai masalah kesihatan dan keadaan kesihatannya semakin merosot sejak disahkan positif Covid-19 sebelum disahkan meninggal dunia pagi ini.

“Jenazah akan dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat iaitu tanah perkuburan yang sama Allahyarham bapa kami dikebumikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya, beliau dan ahli keluarga reda dengan pemergian abang sulung mereka, tidak lama selepas Allahyarham bapa mereka, Harussani yang meninggal dunia pada 30 Mei lalu selepas positif Covid-19.

“Kami bersedih di atas kehilangannya, namun reda. Saya sedihkan emak yang menghadapi dua kehilangan ahli keluarga selepas bapa kami meninggal dunia pada Mei lalu,” katanya.

Menurutnya, A. Abdul Hakim yang menetap di Ipoh meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 19 hingga 28 tahun.

Pada 30 Mei lalu, Harussani, 82, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HRPB kerana Covid-19 yang ketika itu turut menjangkiti isteri Allahyarham, Puan Seri Ainon Abdul Ghani.

Allahyarham Harussani mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Sebelum ini, seorang anak lelaki Harussani, Abdul Hakam meninggal dunia pada usia 24 tahun pada tahun 1994 setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di Mesir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN