JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi di negeri itu yang masih rendah.
Titah baginda, statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan seramai 1,184,151 individu menerima vaksin dos pertama sehingga Isnin lalu.
“Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan Covid-19 dan yang telah meninggal dunia.
“Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta.
“Strateginya amat jelas iaitu kita mesti menvaksinkan seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat yang mungkin,” titah baginda di Facebook rasminya sebentar tadi.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.
Titah Sultan Johor, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di negeri ini malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.
“Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat sendiri,” titah baginda.
Terdahulu, Tunku Ismail berharap agar kerajaan negeri mempertingkat kadar vaksinasi harian di Johor bagi melawan pandemik Covid-19 yang dilaporkan meningkat ketika ini.
Menurut Tunku Mahkota Johor, kadar dos vaksinasi harian perlu dipertingkat kepada 70,000 dos berbanding 50,000 ketika ini.- UTUSAN ONLINE