83 penduduk di PKPD Bukit Malut positif Covid-19 - Utusan Malaysia

83 penduduk di PKPD Bukit Malut positif Covid-19

SEORANG penduduk dipakaikan gelang merah jambu selepas melakukan ujian saringan awal di penempatan Bukit Malut, Langkawi baru-baru ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 186 penduduk yang tinggal di penempatan Bukit Malut, Langkawi menjalani saringan awal Covid-19 sejak kawasan tersebut dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 27 Julai lalu hingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, jumlah penduduk yang disahkan positif daripada jumlah yang melakukan saringan sejak kelmarin pula seramai 83 orang.

Sementara itu, menurutnya, seramai 16 orang lagi didapati negatif manakala 87 orang masih menunggu keputusan makmal.

“Satu kematian telah dilaporkan di kawasan PKPD Bukit Malut dan disahkan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk tinggi kerana penempatan kejiranan yang penuh dan rapat dengan jumlah penghuni lebih 4,000 orang.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai pihak melibatkan ketua kampung, wakil penduduk dan Jawatankuasa Bencana Daerah Langkawi dalam usaha memaklumkan dan memujuk penduduk terutama bergejala hadir melakukan saringan.

“Jabatan Kesihatan Daerah Langkawi menyasarkan seramai 200 orang penduduk bergejala melakukan saringan tersebut pada setiap hari,” katanya.

Dr. Othman menambah, pihaknya juga sentiasa memantau situasi jangkitan Covid-19 di PKPD Bukit Malut termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan PKPD.

“Semua penduduk di penempatan itu diminta memberi kerjasama kepada petugas-petugas di samping sentiasa mengamalkan kebersiahn, jarak fizikal, pemakaian pelitup muka dan elakkan berkumpul atau berhimpun,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN