ALOR GAJAH: Kira-kira 60 peratus pemain industri pelancongan khususnya sektor perhotelan di negeri ini gagal menghantar maklumat vaksinasi bagi pengesahan kadar imuniti kelompok.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, isu tersebut telah berlarutan selama dua bulan dan semakin membimbangkan kerajaan negeri.
Jelasnya, sehingga kini, pihaknya tidak dapat menyediakan data lengkap berhubung vaksinasi, sekali gus mengganggu persiapan dalam menghadapi pembukaan semula sektor itu yang dijangka menjelang hujung tahun ini.
“Sehingga kini, secara keseluruhan lebih 70 peratus penggiat sektor pelancongan telahpun menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Bagaimanapun, bagi pengusaha perhotelan khususnya, kita masih belum dapat mengumpul maklumat vaksinasi daripada mereka dan ia melibatkan sebilangan besar iaitu anggaran 60 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pasar Segar Terkawal di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah melakukan pelbagai kaedah peringatan kepada penggiat terbabit termasuk secara rasmi, hantaran mesej di aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.
“Kita masih menunggu respons daripada mereka dan saya merayu agar semua pihak yang terlibat memberi kerjasama supaya dapat melancarkan perancangan untuk membangunkan semula sektor pelancongan.
“Saya khuatir yang belum memberikan maklumat vaksinasi ini disebabkan isu telah menutup perniagaan, namun mereka tetap perlu menghantar maklumat tersebut bagi tujuan penyimpanan data kerajaan negeri,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pembukaan pasar segar itu bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat mendapatkan bekalan pada harga 20 peratus lebih rendah berbanding pasar raya.
“Pasar ini juga menjadi platform kepada peniaga-peniaga tempatan untuk menjana pendapatan lebih selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Bagi permulaan, pasar ini menyediakan 13 buah tapak dan jumlah itu akan ditambah secara berperingkat mengikut situasi semasa pandemik,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










