SEREMBAN: Seramai 512 anggota polis di Negeri Sembilan termasuk ahli keluarga mereka dikesan dijangkiti Covid-19 sejak awal tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, jumlah yang dicatatkan sehingga semalam itu adalah berbanding 545 kes Covid-19 yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Sebanyak 512 kes Covid-19 dalam kalangan anggota polis dan ahli keluarga dikesan dan dikuarantin tahun ini (sehingga semalam).
“Setakat ini, satu kes kematian melibatkan anggota polis dan satu kes kematian ahli keluarga dilaporkan, manakala majoriti kes Covid-19 lain berada pada tahap satu dan dua,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima 1,000 pek sumbangan barang keperluan sempena program Op Bantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan daripada Presiden Dou Yee Manufacturing Sdn. Bhd., Tan Say Kee untuk diagihkan kepada golongan yang terjejas sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.
Jelas Che Zakaria, dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan anggota dan pegawai polis, pihak IPK Negeri Sembilan turut sama menguruskan vaksinasi melibatkan ahli keluarga anggota.
“Tindakan kita bukan hanya memastikan anggota dan pegawai polis divaksin, tetapi, kita juga menguruskan vaksinasi ahli keluarga yang tinggal serumah,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai sumbangan menerusi program Op Bantu IPK Negeri Sembilan, Che Zakaria berkata, pihaknya menerima lebih 1,400 permintaan daripada orang ramai sekitar negeri ini yang terjejas dan memerlukan bantuan bakul makanan dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Maklumat mengenai penerima sumbangan ini kita peroleh daripada pelbagai platform, ada yang WhatsApp atau membuat terus panggilan telefon kepada pihak polis.
“Selain itu, ada yang memaklumkan sendiri kepada anggota polis yang turun padang membuat rondaan atau bertugas bahawa mereka memerlukan bantuan selain ada yang mengibarkan bendera putih di rumah,” katanya.
Menurut Che Zakaria, sumbangan-sumbangan yang diterima disampaikan melalui Ketua Polis Daerah kepada individu dan keluarga yang memerlukan.
“Sekiranya keperluan masih ada, sumbangan akan diteruskan pada masa akan datang.
“Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri telah menyumbangkan 1,800 bakul makanan dan telah diagihkan di setiap daerah,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE










