TUMPAT: Dianggarkan hampir 50 keluarga ‘hilang’ dari kediaman mereka di Taman Sri Bayu di sini, selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini.
Bancian awal merekodkan 450 keluarga atau lebih 2,000 penduduk di situ, namun bancian terkini hari ini bagi tujuan agihan bakul makanan mendapati hanya 401 keluarga masih berada di kediaman, sekali gus menimbulkan tanda tanya.
Difahamkan, selain orang awam, majoriti penduduk di situ terdiri daripada golongan petugas barisan hadapan seperti anggota polis, tentera dan jururawat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd. Adanan Hassan berkata, pihaknya telah memohon sebanyak 450 bakul makanan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diagihkan kepada semua penduduk di situ yang berdepan PKPD mulai hari ini.
“Jumlah 450 itu berdasarkan bancian awal namun hari ini terdapat lebihan bakul makanan. Jadi kita akan simpan dahulu lebihan ini sementara waktu,” katanya kepada pemberita selepas menyertai proses agihan bakul makanan dari rumah ke rumah di Taman Sri Bayu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Adanan berkata, pihaknya bersedia mengagihkan lebihan bakul makanan itu kepada mana-mana keluarga yang terputus bekalan makanan atau belum menerima bantuan tersebut ketika PKPD.
Sementara itu, penerima bakul makanan yang juga anggota polis, Muhamad Rizalman Hassan, 30, berkata, kluster Taman Sri Bayu dikatakan dicetuskan oleh pasangan suami isteri yang bekerja di luar daerah.
“Saya dan isteri serta anak kami sudah menjalani ujian saringan Covid-19. Alhamdulillah kami semua disahkan negatif. Walaupun kawasan rumah saya dikenakan PKPD, saya perlu keluar bertugas seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rashid Mat Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan mengenai berkaitan misteri ‘kehilangan’ penduduk di kawasan PKPD Taman Sri Bayu.
“Bagaimanapun buat masa ini, kami akan cuba dapatkan jumlah penduduk di PKPD Taman Sri Bayu daripada pihak yang mempunyai bidang kuasa berhubung kekeliruan angka sebenar bilangan penduduk di situ,” katanya.-UTUSAN ONLINE