Zaleha Hamid, Mat Sentol antara yang terima PRE Ihsan Johor 3.0 - Utusan Malaysia

Zaleha Hamid, Mat Sentol antara yang terima PRE Ihsan Johor 3.0

HASNI Mohammad (dua kiri) bertanya khabar Zaleha Hamid yang terlantar sakit sambil ditemani suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz (kanan) di PPR Uda Utama di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penggiat seni di negeri ini terharu apabila mereka turut tidak terkecuali menerima bantuan yang disampaikan oleh kerajaan negeri bagi meringankan beban ketika pandemik Covid-19.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan bulan lalu, ia menyaksikan penggiat seni di negeri ini akan menerima sebanyak RM500 yang diberikan kepada mereka.

Antara yang menerima sumbangan ialah penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 63, atau nama sebenarnya Siti Zaleha Abdul Hamid.

Beliau yang kini terlantar akibat diserang angin ahmar dijaga oleh suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz.

“Sejak isteri (Zaleha) mengalami sakit strok sejak tahun 2019, saya menjaganya sepenuh masa, saya tidak bekerja dan mengharap bantuan secara bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan anak kami.

“Kami sangat bersyukur dengan bantuan tunai dan barangan makanan yang diterima, ia meringankan beban kami sekeluarga,” kata Ungku Sulaiman ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Uda Utama, Taman Uda Utama, di sini hari ini.

Seorang lagi artis veteran, Abd. Rashid Yahaya, 88, yang popular dengan nama pentas Mat Sentol turut memuji langkah kerajaan negeri dalam memberi bantuan kepada penggiat seni termasuk mereka yang sudah tidak lagi aktif.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak lupakan golongan seperti kami. Teruskanlah membantu,” katanya.

Sementara itu, Othman Jupri, 72, yang merupakan penggiat seni silat dan teater pula mengakui amat gembira dengan kesudian kerajaan negeri memberi sumbangan kepada golongan sepertinya.

Katanya, akibat pandemik Covid-19, mereka tiada pendapatan kerana tidak boleh mengajar silat dan teater melainkan kini hanya bergantung dengan wang yang dikirim oleh dua anaknya yang bekerja di Singapura.

“Memang rindu dengan mereka. Demi mencari rezeki, sudah dua tahun mereka tidak boleh balik. Sejak Covid-19 melanda golongan seperti kami amat terkesan,” katanya.

Dalam pada itu, kesemua sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Menerusi PRE Ihsan Johor 3.0, sebanyak RM500,000 dana disediakan dengan RM1,000 diberikan kepada setiap 11 Badan Gabungan yang berdaftar di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Johor, RM1,000 kepada 10 buah Majlis Kebudayaan Daerah dan RM500 kepada 958 orang penggiat seni di negeri ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya