MELAKA: Yayasan Petronas menyumbang peranti digital berserta data internet bernilai RM145,000 kepada 58 pelajar di negeri ini bagi memberikan kemudahan akses yang lebih baik semasa menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, sumbangan peranti digital tersebut merupakan komitmen Petronas terhadap Cerdik iaitu inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Jelas beliau, usaha itu membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran dalam talian, e-pembelajaran dan lain-lain bentuk pengajaran jarak jauh.
“Melalui Cerdik, kami mahu menyediakan kemudahan akses yang efisien bagi mendapatkan pendidikan berkualiti, selain merapatkan jurang digital kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan serta luar bandar.
“Semoga mereka tidak lagi ketinggalan dalam mengejar kecemerlangan akademik terutama sewaktu pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan sistem pembelajaran secara PdPR berikutan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebanyak 58 buah peranti digital diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah untuk diedarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebong.
Setiap peranti dilengkapi perkhidmatan data percuma, penyelenggaraan, sokongan teknikal dan juga jaminan bagi menyokong keperluan pelajar untuk tempoh akademik selama tiga tahun.
Sementara itu, Pengetua SMK Tebong, K. Pathemanathan berkata, pihak sekolah bersyukur dan berterima kasih kerana terpilih untuk program berkenaan.
“Peranti digital ini dapat membantu mengurangkan beban sebahagian besar golongan B40 di sekolah kami, terutamanya ibu bapa kepada pelajar tingkatan tiga,” katanya.
Sejak Mei tahun ini, Yayasan Petronas telah mengedarkan 12,000 peranti digital dengan peranti sokongan berjumlah RM30 juta kepada 81 sekolah di 69 daerah di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE










