Warisan kecam serangan politik terhadap Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Warisan kecam serangan politik terhadap Syed Saddiq

LORETTO PADUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengecam tindakan pihak tertentu yang menggunakan serangan politik bagi menjatuhkan reputasi dan kerjaya politik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, pertuduhan mahkamah terhadap Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu adalah satu tindakan yang cuba membunuh karier politiknya.

“Persoalan yang perlu difikirkan, mengapa baru sekarang beliau didakwa atas pelbagai pertuduhan pecah amanah? Cukup jelas pertuduhan ini dibuat setelah beberapa kali Syed Saddiq menolak pujukan dan ugutan yang memintanya menyokong Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loretto berkata, Warisan juga memuji prinsip yang dipegang oleh Syed Saddiq dan berharap dia sentiasa tabah dan kuat untuk mendepani dan melawan segala ketidakadilan yang berlaku.

Katanya, pemimpin MUDA itu tidak perlu khuatir kerana rakyat benci dengan penindasan serta ketidakadilan.

“Sejarah membuktikan bahawa pemerintah yang menyalahgunakan kuasa untuk menindas rakyat atau seteru politik pasti dihukum oleh rakyat seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Warisan sudah menempuh pelbagai fasa penindasan serta ketidakadilan ketika pemerintahan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan pada masa itu menggunakan agensi-agensinya untuk menekan pemimpin yang lantang bersuara dan tidak sehaluan dengan mereka. Tekanan-tekanan ini dilakukan terhadap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta pemimpin lain seperti Datuk Peter Anthony dan Datuk Mohd. Azis Jamman pada ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pemimpin Warisan sentiasa berpegang teguh dengan prinsip dan tidak sesekali menyerah dan tetap melawan sehingga PRU. Keputusan PRU-14 cukup membuktikan rakyat menolak kerajaan yang tidak adil dan suka menindas.

Jelas Loretto, Warisan berharap rakyat akan berdiri melawan penindasan serta ketidakadilan ini. Jangan sesekali takut kerana rakyat berkuasa menentukan jatuh dan bangun sesebuah kerajaan.

“Situasi yang berlaku ketika ini menunjukkan kerajaan PN bukan sahaja gagal mentadbir negara tetapi menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik,” katanya.

Pagi tadi, Syed Saddiq berdepan dua pertuduhan di mahkamah membabitkan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta pada 2020 serta menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU-14 berjumlah RM120,000. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya