PUTRAJAYA: Penduduk Lembah Klang yang berusia 60 tahun ke atas dan masih belum lagi menerima vaksin Covid-19 kini dibenarkan datang secara walk-in atau tanpa janji temu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, lokaliti berkenaan dipilih sebagai perintis sebelum inisiatif tersebut diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
“Kita ada data yang menunjukkan masih ramai dalam kalangan mereka belum lagi dapat vaksin dan usaha sebegini kemudian akan juga dikembang ke negeri-negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar khas yang turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), warga emas berumur lebih 60 tahun dimasukkan dalam Fasa 2 bermula sejak April lalu dan sepatutnya tamat bulan depan.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) menyasarkan dalam fasa ini 9.4 juta orang meliputi warga emas, golongan penyakit berisiko tinggi dan orang kurang upaya (OKU).
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, setakat ini hanya 2,478,289 warga emas di seluruh negara sudah menerima dos pertama daripada keseluruhan yang berdaftar iaitu 2,988,678 orang.
“Sehingga kini warga emas yang sudah ada janji temu vaksinasi adalah 300,565 orang, dan kita harap apabila dibuat hadir terbuka tanpa perlu janji temu, jumlahnya akan naik,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan, bekalan adalah mencukupi di kesemua 47 pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor dan 12 lagi di Kuala Lumpur bagi memenuhi keperluan warga emas.
Pada masa sama ujarnya, PPV Industri yang melibatkan Program Imunisasi Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) di Lembah Klang dan Seremban, Negeri Sembilan akan beroperasi 24 jam.
Inisiatif lanjutan masa itu jelasnya, dijangka dapat memberi peluang kepada puluhan ribu pekerja sektor pembinaan, pembuatan dan pengangkutan menerima vaksin dalam masa terdekat.
Kementerian juga membuat keputusan untuk menambah seramai 2,229 doktor swasta di Selangor dan 1,254 doktor swasta di Kuala Lumpur untuk terlibat dalam proses pemberian vaksin.
“Ketika ini, kita hanya ada 700 doktor swasta di Lembah Klang yang boleh beri vaksin dan pertambahan ini dijangka menyaksikan suntikan 300,000 dos sehari dapat dilaksanakan,” kata Dr. Adham.- UTUSAN