Wakil parti pembangkang sertai MPN - Utusan Malaysia

Wakil parti pembangkang sertai MPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Wakil-wakil dari parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dijemput sebagai ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN) berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan pendekatan keseluruhan negara.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat pertama MPN dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. 

Menurut beliau, MPN juga bersetuju untuk menjemput wakil dari kerajaan-kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menganggotai majlis tersebut.

“Seterusnya, MPN juga mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar-pakar dari pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang bersetuju untuk berkongsi  kepakaran dan pengalaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Antara nama-nama yang terlibat ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Tan Sri Azman Mokhtar; Tan Sri Anthony Fernandes;  Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman;  Datuk Seri Wong Chun Wai; Datuk Michael Kang;  Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim; Datuk Dr. Hartini Zainuddin dan Dr. Sivakumar Thurairajasingam. 

Tengku Zafrul berkata, keanggotaan wakil-wakil parti pembangkang, tokoh-tokoh dan pakar-pakar dari  pelbagai sektor ini akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang  bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa. 

Jelas beliau, MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada antara lainnya,  pemerkasaan sektor kesihatan, peningkatan usaha vaksinasi, penyelarasan,  pelaksanaan dan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) serta sokongan dan bantuan kerajaan dalam tempoh pemulihan.  

“Seterusnya, MPN juga akan menyampaikan maklumat mengenai aspek-aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi PPN yang dilancarkan pada 26 Julai ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN