Video penghubung terakhir mangsa Covid-19 - Utusan Malaysia

Video penghubung terakhir mangsa Covid-19

WARIS Allahyarham Mohd. Latif Alwan memakai PPE membantu urusan pengkebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Selat Kelang, Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Komplikasi kanser usus yang dihadapi seorang mangsa Covid-19 menjadi antara penyebab bapa kepada dua beradik, Allahyarham Mohd. Latif Alwan, 63, akhirnya pergi menemui Pencipta pada awal pagi kelmarin.

Mengingati semula detik akhir bersama arwah bapanya, salah seorang daripada mereka, Mohammad Norhafizi Mohd. Latif, 28, memberitahu, Mohd. Latif mengadu sakit perut sebelum dia membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini pada 1 Julai lalu.

Katanya, susulan penyakit yang dihidapi, bapanya kemudian ditahan untuk rawatan lanjut, namun memberitahu sebelum dimasukkan ke wad perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan hasilnya adalah negatif.

“Bagaimanapun ayah didapati positif Covid-19 setelah menjalani ujian calitan kedua pada 5 Julai lalu,” katanya selepas pengkebumian bapanya di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, di sini semalam.

Mohammad Norhafizi memberitahu, sepanjang berada di hospital, mereka saling berhubung menerusi panggilan video bagi mengetahui perkembangan kesihatan bapanya memandangkan pelawat tidak dibenarkan menziarahi pesakit ketika ini.

Bagaimanapun dua hari sebelum pemergiannya, mereka tidak dapat membuat panggilan video atau telefon kerana keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

“Keesokan harinya, doktor memaklumkan jangkitan Covid-19 serta kanser usus ayah sudah berada di tahap empat dan peluang untuk dia sembuh amat tipis.

“Runtuh hati kami mendengar penjelasan doktor dalam satu panggilan telefon, namun kami bersedia untuk menerima segala ketentuan Allah walaupun penjelasan itu pahit untuk ditelan,” luahnya.

Sementara itu, Mohammad Afif Aiman Mohd. Latiff, 24, meluahkan, menerusi panggilan video terakhir sempat memohon maaf atas segala kesilapannya dan berharap bapanya sembuh dan pulang ke pangkuan keluarga.

Katanya, mendengar suara dari mulut arwah membuatkan mereka sekeluarga berasa sangat sebak, bagaimanapun sedaya upaya menyembunyikan kesedihan itu supaya bapanya terus bersemangat melawan dua penyakit kritikal dihidapinya.

“Pagi Ahad kira-kira pukul 5.30 pagi, pihak HTAR memaklumkan ayah sudah tiada. Walaupun tidak berpeluang menziarahi ayah di hospital, saya tetap bersyukur kerana dapat melihat urusan pengebumiannya kelmarin,” tuturnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN