UMNO Langkawi sedia lawan Pejuang - Utusan Malaysia

UMNO Langkawi sedia lawan Pejuang

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nawawi Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: UMNO Bahagian Langkawi bersedia untuk bertarung dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi merampas semula kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Nawawi Ahmad berkata, parti itu tetap menaruh harapan tinggi untuk memenangi PRU-15 walaupun  berhadapan dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad  yang mungkin mahu mengekalkan kerusi tersebut.

Malah katanya, UMNO bahagian itu telah membuat persiapan rapi untuk bertarung  dengan parti-parti lain.

“Saya tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan tiga hingga lima penjuru di Parlimen itu pada PRU-15 ini.

“UMNO juga tetap bersedia (bertanding) walaupun Tun (Mahathir) akan bertanding, terpaksalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Pejuang akan meletakkan calon dalam jumlah yang banyak untuk bertanding pada PRU-15.

Dr. Mahathir berkata, Parlimen Langkawi merupakan kawasan yang menjadi tumpuan Pejuang untuk bertanding pilihan raya umum itu.

Sementara itu, katanya, parti itu sedang mengenal pasti kawasan-kawasan lain yang bakal ditandingi nanti.

Nawawi memberitahu, UMNO bahagian ini juga menyerahkan kepada kepimpinan parti dalam menentu calon Parlimen dan  dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuah dan Ayer Hangat.yang akan bertanding pada PRU-15 itu.

Dalam pada itu, jelasnya, UMNO mempunyai peluang untuk merampas semula  kerusi Parlimen dan dua DUN yang dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-14 lalu berdasarkan sokongan yang diterima pada masa ini.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh dedahkan persiapan dan kekuatan yang dimiliki oleh UMNO sekarang,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN