Tidak perlu sambung darurat - Utusan Malaysia

Tidak perlu sambung darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh darurat yang yang bakal tamat 1 Ogos ini tidak perlu disambung walaupun kes Covid-19 mencecah lebih 11,000 kes.

Ini kerana pengisytiharan darurat dibuat awal tahun lalu selepas Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324) terbukti tidak memadai untuk menghalang penularan wabak berkenaan.

Selepas lebih enam bulan dikuatkuasakan, angka jangkitan masih tinggi sehingga segelintir pihak menyifatkan kelemahan kerajaan sebagai punca utama terutama dalam memaksimumkan penggunaan sumber untuk memerangi Covid-19.

Justeru, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP) Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, sidang Parlimen yang perlu diadakan selaras Perkara 150(3) dan Perkara 150(9) Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya sidang Parlimen perlu diteruskan untuk membentangkan proklamasi dan Ordinan Darurat sebelum berakhir tempoh pada 1 Ogos ini.

“Apabila persidangan nanti pihak kerajaan perlu buat usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengelakkan politik tidak sihat selepas UMNO me­ngumumkan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah awal tahun lalu memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Muhyiddin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Ba­ginda dengan Raja-Raja Melayu.

Tambah Wan Ahmad Fauzi, usul undi percaya perlu dibawa kerajaan yang menghormati prinsip keluhuran Perlembagaan kerana seorang Perdana Menteri yang hilang kepercayaan ahli Dewan Rakyat hendaklah meletakkan jawatan seperti diperuntukkan dalam Perkara 43(4).

“Dalam hal ini, belum tentu Perdana Menteri akan tewas jika undi percaya dibuat. Perdana Menteri mungkin mampu mengukuhkan kedudukannya dengan pelbagai langkah yang telah dilaksanakan begitu juga dengan adanya Pelan Pemulihan Negara (PPN),’’ katanya.

Dalam pada itu, Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun adanya darurat, sumber dan undang-undang untuk memerangi Covid-19 masih tidak digunakan sepenuhnya.

“Sepatutnya pelaksanaaan darurat perlu menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar, kerajaan memberi fokus kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar di samping menambah pusat rawatan dalam komuniti.

“Tidak perlu PKP dan laksa­nakan PKPD bersasar disamping meningkatkan jumlah vaksinasi kepada semua penduduk. Itu sudah cukup,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN