Tiada tutup seksyen tertentu di premis jualan runcit - Utusan Malaysia

Tiada tutup seksyen tertentu di premis jualan runcit

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemilik premis perniagaan boleh menjual segala jenis barangan yang terdapat di tempat mereka sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 29 Jun lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan ada pemilik premis bertindak menutup seksyen tertentu kerana menganggap kononnya ia tidak boleh dijual.

“Ada kekeliruan apabila mereka menutup sebahagian seksyen barangan di premis perniagaan dan enggan menjual produk tertentu kepada pelanggan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai merujuk rungutan rakyat yang tular melalui media sosial apabila kecewa tidak dapat membeli barangan tertentu dalam kedai runcit, serbaneka, pasar raya dan pasar mini.

Antaranya buku dan peralatan tulis, produk elektronik, aksesori telekomunikasi dan peranti gajet kerana seksyen itu ditutup atas alasan konon dianggap tidak boleh dijual kepada pelanggan.

Mengulas mengenai operasi premis makanan pula, beliau memaklumkan bahawa mereka masih boleh berniaga bermula dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam seperti diumumkan sebelum ini.

“Ini melibatkan kesemua negeri yang dikenakan Fasa 1 dan 2 PPN, kecuali hanya di lokaliti tertentu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” jelas beliau lagi.

Di kawasan terbabit yang turut meliputi sebahagian besar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, waktu operasi penjualan makanan cuma 12 jam dari 8 pagi sehingga 8 malam.

Ismail Sabri juga menerangkan bahawa semua penduduk di kawasan PKPD dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 seperti janji temu yang ditetapkan.

Begitu juga ujarnya, mereka yang ingin pulang ke kampung untuk membawa ahli keluarga bagi menerima vaksinasi sama ada di luar daerah atau negeri adalah dibenarkan kerajaan.

“Mereka hanya perlu tunjuk janji temu MySejahtera dan mendapatkan kebenaran pihak polis dengan maksimum tiga orang dalam sebuah kenderaan termasuk pemandunya,” tegas beliau.

Menyentuh operasi pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau berkata MKN memutuskan untuk dibuka di kawasan dilaksanakan PKPD dari 9 pagi hingga 1 petang.

Bagaimanapun kata beliau, kapasiti kehadiran kakitangan agensi tersebut tetap dihadkan kepada cuma 60 peratus bagi menguruskan pelbagai penyaluran skim bantuan pihak kerajaan.

 Namun jelasnya, kelonggaran diberikan kepada pejabat KWSP yang bersaiz kecil terletak di kawasan luar bandar dengan bilangan petugasnya dibenarkan sehingga kapasiti maksimum. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya