PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil maklum dan menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas isu-isu berbangkit mengenai TH hasil pengauditan perunding-perunding dari tahun 2014 hingga 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Amrin Awaluddin berkata, TH akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya tersebut berdasarkan lunas-lunas perundangan.
“TH berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus,” tambah beliau.
Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit.
TH sentiasa berusaha melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan para pendeposit.
Kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai (TH).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini untuk menyiasat hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.
Menurut beliau, antara terma RCI yang dipersetujui ialah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH sepanjang tempoh itu tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini. -UTUSAN










