KOTA TINGGI: Tidak sanggup melihat isteri menanggung sakit, seorang suami berharap suri hatinya itu dapat menjalani pembedahan segera mengeluarkan ketumbuhan dalam perutnya sejak lebih dua tahun lalu.
Imraan Samion, 39, berkata, isterinya, Siti Anney Saleman, 37, mula dikesan memiliki ketumbuhan dalam rahim dan luar rahim selepas melahirkan anak mereka Nur Imaan Imran yang kini berusia tiga tahun sebelum kesihatan isterinya mulai merosot sehingga dia yang bekerja membawa mesin jentera berat tidak senang duduk setiap kali keluar bekerja.
“Saya makan gaji hari jika tidak kerja tiada gaji. Apabila sakit isteri datang dia sampai menggigil-gigil menahan sakit, menangis usah cakap, bila rasa badannya sejuk tetapi dia rasa panas di dalam sehingga meminta untuk dituam dengan ais.
“Tambahan pula sekarang sakitnya lebih kerap datang. Saya yang hendak bekerja jadi tidak senang duduk dan sering minta bantuan jiran tengok-tengokkan jika isteri tidak memberi respon di WhatsApp.
“Bagi anak pula, buat masa ini kakak ipar di Felda Papan Timur membantu menjaganya. Nur Imaan juga ada masalah hernia yang mana sepatutnya menjalani pembedahan pada April namun tertangguh sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Mas, semalam.
Imraan berkata, imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di sebuah hospital swasta mendapati ketumbuhan dalam perut isterinya membesar tujuh ke lapan sentimeter.
Katanya, dari luaran isterinya kelihatan seperti orang sihat namun hakikatnya sakit ditanggung sehingga tidak mampu bangun seharian.
“Isteri saya sudah tidak mampu menanggung sakitnya. Saya yang melihatnya tidak sampai hati dan berharap agar dia dapat jalani pembedahan segera bagi membuang ketumbuhan itu.
“Kami ada juga dapatkan rawatan di hospital kerajaan namun buat masa ini doktor tidak memberi tarikh untuk pembedahan membuatkan kami terdesak sehingga merujuk ke hospital swasta, tetapi kosnya pula mencecah sehingga RM27,000, jadi kami memang tidak mampu,” katanya.
Katanya, dia berterima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak termasuk pengurusan kampung, Majlis Agama Islam Johor, pertubuhan bukan kerajaan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengerang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar yang hadir memberikan sumbangan.
“Pihak ADUN juga memaklumkan untuk membantu membuat permohonan kepada Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi membolehkan isteri menjalani pembedahan dengan kadar segera. Jika isteri sudah menjalani pembedahan dan sihat kemudian anak pula yang perlu dibedah.
“Dengan keadaan isteri sekarang bagaimana dia hendak menjaga Nur Imaan jika dia tidak sihat sedangkan saya perlu keluar mencari rezeki untuk kami,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Siti Anney bernombor 0113-502-0087-247 atau boleh hubungi 010-543 7071.- UTUSAN ONLINE










