Sistem doktor kontrak jejaskan penyampaian sistem kesihatan negara - Utusan Malaysia

Sistem doktor kontrak jejaskan penyampaian sistem kesihatan negara

KEMUDAHAN bercuti bagi petugas semasa musim perayaan di pedalaman amat penting . - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Amalan doktor kontrak seperti diamalkan di Malaysia sejak 2016 bukan sahaja menyebabkan pegawai perubatan terlibat tidak mendapat peluang sama rata seperti kakitangan tetap, malah menyebabkan kira-kira 23,000 individu berkenaan berisiko hilang pekerjaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun jika tidak diserap.

Badan Perhubungan Negara United Kingdom (BPNUK) dalam kenyataan menjelaskan negara perlu mengambil iktibar pertikaian sistem kontrak antara doktor di UK dan Setiausaha Kesihatan negara berkenaan, Jeremy Hunt sekitar 2015 apabila mereka menganggapnya sebagai satu ‘rampasan’ nasib dan manfaat mereka.

Kata pertubuhan pelajar Malaysia di UK itu lagi, sistem berkenaan boleh menjejaskan penyampaian sistem kesihatan awam apabila dijangka berlaku kekurangan tenaga kerja kerana berlaku penghijrahan doktor berbakat ke hospital swasta.

“Akhirnya rakyat Malaysia terpaksa menanggung peningkatan kos perubatan apabila terpaksa beralih kepada pusat perubatan swasta memandangkan jumlah doktor pakar di sektor awam akan berkurangan. Ini juga menyebabkan sasaran Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) iaitu nisbah satu doktor bersamaan 400 rakyat akan gagal.

“Ia secara tidak langsung kualiti khidmat kesihatan awam merosot hingga rakyat terpaksa menunggu tempoh lebih lama untuk mendapatkan rawatan,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu mengulas Gerakan Hartal atau mogok doktor-doktor kontrak di seluruh negara yang berhasrat mengadakan mogok berbaki lapan hari lagi atau pada 26 Julai ini bagi memastikan suara mereka didengar dan nasib terus dibela kerajaan.

Dalam pada itu, BPNUK memaklumkan, pelbagai kesan disenaraikan itu boleh membawa kepada keterbukaan insurans kesihatan swasta kerana rakyat terpaksa bergantung kepada sektor bukan kerajaan dan secara umumnya mampu membawa kepada liberalisasi sistem kesihatan tanah air.

Oleh itu, pihaknya menyokong tuntutan Gerakan Hartal atau mogok doktor kontrak agar 23,000 pegawai perubatan terlibat menerima jawatan tetap di samping ketelusan dalam kriteria pelantikan mereka terlibat.

“Kami mengecam intimidasi terhadap doktor yang bersolidariti dengan kempen ini,” ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati petisyen diwujudkan bagi mendesak kerajaan melakukan penyelesaian segera terhadap terhadap status 23,000 doktor kontrak supaya nasib mereka terbela hampir mencapai sasaran apabila 170,000 tandatangan berjaya dikumpul setakat kini.

Petisyen diwujudkan menerusi laman sesawang www.change.org bertajuk SafeourcontractHCW sejak 29 Jun lalu menyasarkan 200,000 tandatangan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN