PETALING JAYA: “Sidang Parlimen perlu ada perbahasan, bukannya sekadar penerangan kepada ahli Parlimen sahaja”.
Itu reaksi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika dihubungi Utusan Malaysia berkenaan sidang Parlimen yang akan diadakan bermula 26 Julai ini.
Menurut beliau, sidang itu sepatutnya diberi jaminan membincangkan dan memberi perhatian berkenaan perkara yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong.
“Titah Seri Paduka adalah Parlimen harus bersidang untuk berbincang berkenaan Ordinan Darurat dan berkaitan Covid-19. Mengapa perkara tersebut tidak diberi keutamaan? Itu yang timbul kemusykilan. Adakah mereka hanya sekadar ‘melepaskan batok di tangga’ atau benar-benar memberikan fungsi Parlimen,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini hingga 29 Julai dan 2 Ogos bagi Dewan Rakyat manakala tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos bagi Dewan Negara.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil meluahkan rasa kecewa terhadap komitmen kerajaan berhubung pendekatan yang akan digunakan apabila Parlimen bersidang 26 Julai ini.
Beliau menyifatkan isu seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Proklamasi Darurat seharusnya dibenarkan untuk dibahas secara terbuka, bukan sekadar memberikan penerangan atau pembentangan kepada ahli-ahli Parlimen.
“Kalau nak beri penerangan atau pembentangan, baik buat panggilan Zoom, siaran langsung di YouTube atau Facebook, sebab apabila kerajaan berkata soal pelan pemulihan dan ordinan darurat akan dibentangkan, ia tidak bererti akan dibahaskan nanti,” kata Pengarah Komunikasi PKR itu.
Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman turut kecewa kerana kerajaan tidak memberi ruang untuk Parlimen berbahas secara menyeluruh kecuali menyentuh soal PPN dan pindaan undang-undang untuk membolehkan sidang Parlimen hibrid.
Katanya, sidang Parlimen berlangsung selama lima hari juga tidak cukup untuk semua wakil rakyat menghabiskan sesi perbahasan mengambil kira hal-hal yang ‘membuang masa’ ketika di Dewan Rakyat nanti.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya akan memohon lanjutan persidangan sekiranya ada keperluan setelah melihat tempoh diberikan itu tidak mencukupi untuk semua ahli Parlimen berbahas.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid mengharapkan sidang kali ini diberi keutamaan membincangkan soal rakyat serta penularan Covid-19 di negara ini.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, syarat perbincangan mesti berkonsepkan pembinaan negara dalam semua aspek terutama berkaitan Covid-19.
“Kita harap dalam sidang Parlimen nanti tiada yang mabuk nak jadi Perdana Menteri. Tunggu sahajalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya. – UTUSAN ONLINE










