PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyangkal keras dakwaan kerajaan Selangor kononnya prosedur asrama pekerja warga asing akan bermula tahun depan.
Sebaliknya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu sendiri sebenarnya sudah pun bersetuju untuk menerima pakai sepenuhnya prosedur bagi semua permohonan baharu pada 2 Jun lalu.
“Ini bermakna pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor perlu menguat kuasakan prosedur tersebut mulai dari tarikh diterima pakai kerajaan negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ia mengulas laporan sebuah akhbar yang merujuk kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri itu, Rodziah Ismail yang mendakwa kementerian itu perlu menyegerakan pelaksanaan garis panduan untuk melarang majikan menjadikan flat sebagai asrama bagi pekerja asing.
Langkah itu antara usaha kerajaan negeri tersebut mengekang penularan kes wabak Covid-19 di rumah pangsa yang dijadikan kediaman para pekerja luar negara oleh majikan.
Beliau dilaporkan berkata, segala prosedur untuk permohonan baharu bagi tujuan penginapan sementara warga asing hanya akan dikuatkuasakan oleh kementerian itu pada tahun depan.
Mengulas lanjut, kementerian itu menegaskan, semua unit rumah kos rendah dan mampu milik meliputi pangsapuri dan flat awam tidak dibenarkan dijadikan asrama pekerja asing.
“Prosedur Permohonan Penginapan Pekerja Sementara Secara Jangka Pendek telah dilulus oleh Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada 2 Mac lalu,” jelas kenyataan itu.
Pekeliling khas Ketua Setiausaha kementerian itu juga sudah diedarkan kepada semua negeri pada 23 Mac lalu untuk pelaksanaan peringkat PBT bagi tempoh tiga tahun sehingga 2023.
Kementerian itu malahan menyenaraikan enam alternatif bagi tujuan permohonan penginapan pekerja asing untuk jangka pendek antaranya di premis sedia dalam kawasan perumahan.
Begitu juga prosedur pilihan jika majikan ingin membina asrama pekerja di taman perumahan, rumah kedai, kedai pejabat, plot perniagaan, premis perindustrian dan tapak pembinaan.
Dalam usaha memastikan pembangunan dan operasi penginapan pekerja lebih teratur, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa kementerian itu telah pun menggubal draf garis panduan.
Ia ujarnya, bakal melibatkan cadangan perancangan penginapan pekerja berpusat di kawasan baharu dan premis terbiar sebagai salah satu kaedah penyelesaian bagi jangka panjang.
“Garis panduan ini akan dibentangkan di Mesyuarat MNKT pada 13 Julai ini untuk tujuan pertimbangan dan mendapat maklum balas daripada semua kerajaan negeri,” katanya.- UTUSAN ONLINE










