KUALA LUMPUR : Perbincangan hampir separuh hari hanya membuang masa melayan agenda politik pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, setiap wakil rakyat seharusnya menggunakan masa lima hari yang singkat ini untuk berbahas demi kebajikan rakyat, sekaligus tindakan pembangkang itu tidak wajar dilakukan.
“Mereka pertikai itu ini, buang masa separuh hari habis macam itu sahaja. Hanya nak mencari salah kerajaan, itu motif mereka. Sebab itu mereka betul-betul nak parlimen dibuka, hanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
“Sepatutnya mereka beri pandangan, bukan nak tibai orang sahaja. Kita sepatutnya berbincang dan berbahas perkara yang mendatangkan manfaat kepada rakyat, itulah harapan masyarakat di luar sana,” katanya ketika ditemui di Parlimen, semalam.
Persidangan khas Dewan Rakyat pada hari pertama menyaksikan kekecohan selama sejam setengah melibatkan pembangkang yang tidak berpuas hati kerana tiada undian dibuat pada usul yang dibentangkan kerajaan.
Ia membabitkan ahli parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Deo Singh.
Tajuddin dalam masa yang sama turut mempersoal tidak tanduk DAP yang secara tiba-tiba menjaga martabat Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja Melayu.
“Nawaitu mereka tidak betul. Pembangkang menggunakan Agong untuk mengenengahkan hujah mereka, waktu ini pula DAP nak menjadi pembela institusi Raja-Raja. Padahal semua tahu siapa mereka. Sehingga kita pula yang dituduh penderhaka, apa ini?” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pembangkang tidak boleh mempertikai perjalanan Dewan Rakyat hari ini kerana memberi peluang kepada semua ahli parlimen untuk berbahas selama tujuh minit setiap orang.
“Sebenarnya tidak ada yang boleh dipertikai pembangkang, dan kita mengikuti semua prosedur yang ditentukan. Perbahasan dibenarkan. Perdana Menteri sudah buat ucapan, setiap ahli parlimen diberi 7 minit, ini bermakna ruang diberi.
“Apa yang saya nampak pembangkang tidak berminat nak tahu apa yang kerajaan buat tapi seperti biasa, dibuka sejam setengah dibazirkan dengan menjerit- jerit. Pertikai keputusan Speaker pula, padahal kita semua kena terima apa yang dikatakan oleh Speaker. Kalau nak cakap Speaker lapdog, Speaker sewaktu zaman Pakatan Harapan itu lebih ‘lapdog’ kerana dia bertanding atas tiket pembangkang.
“Kalau nak cakap Azhar tidak adil, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof jauh lebih tidak adil, Arif yang ‘lapdog’,” ujarnya lagi.- UTUSAN ONLINE










