IPOH: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak khususnya dan Pejabat Menteri Besar harus mencari jalan untuk menangani kesulitan yang dihadapi orang ramai dan firma guaman dalam berurusan dengan PTG.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, ia kerana pihaknya menerima rungutan terutama peguam yang mengalami kesulitan berikutan temu janji yang terbatas hanya kepada lapan orang sehari bagi urusan dengan pejabat tersebut.
“Keadaan tersebut menimbulkan pelbagai kesulitan khususnya kepada pembeli dan penjual hartanah kerana urusan mereka dikekang dan dibatasi oleh perjanjian dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi, perkara itu perlu diambil perhatian segera demi kepentingan pihak-pihak berkenaan khususnya dan juga ekonomi negeri.
“Kami memohon supaya pejabat PTG khususnya dan Pejabat Menteri Besar secara amnya mencari jalan untuk memperbaiki keadaan tersebut,” jelasnya.
Beliau juga memberitahu kenyataan itu juga dikeluarkan sebagai merujuk siaran media oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali, tentang urusan dengan jabatan kerajaan yang tidak dapat dilakukan secara atas talian, yang dikeluarkan pada 29 Jun lalu.
Kelmarin, Utusan Malaysia menyiarkan gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Teoh Yee Chern, agar PTG Perak dan pejabat daerah dan tanah di seluruh negeri lebih proaktif dalam mengendalikan urusan berkaitan tanah ketika negeri itu sudah memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ini kerana ramai penduduk kini dikatakan resah kerana tidak dapat menjual atau mencagar tanah mereka terutama bagi mendapatkan pembiayaan bank atau kelangsungan hidup, susulan pejabat tanah di seluruh negeri yang masih belum beroperasi sepenuhnya.
Yee Chern berkata, beliau menerima banyak aduan daripada individu dan firma guaman mengenai kesukaran untuk melakukan transaksi sejak 22 Mei lalu sehingga sekarang terutama untuk akses portal pejabat tersebut. – UTUSAN ONLINE










