SADA diminta hantar air lebih kerap - Utusan Malaysia

SADA diminta hantar air lebih kerap

SADA menyediakan perkhidmatan penghantaran bekalan air di kawasan terputus bekalan. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Masalah ketiadaan bekalan air yang dihadapi penduduk di Kampung Padang Toi di sini berpunca daripada ketidak seimbangan aliran air di tangki Carok Pelanduk yang membekalkan air ke kawasan kampung berkenaan sejak setahun lalu.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, paras air di tangki Carok Pelanduk berada di paras minimum selepas Rumah Pam Hujung Bandar di sini siap dan beroperasi tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, rumah pam tersebut memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Hujung bandar dan kawasan berdekatan sahaja.

“Sebanyak enam buah rumah di Kampung Padang Toi yang mengalami gangguan bekalan air yang teruk manakala yang lain terjejas pada waktu-waktu tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

AHMAD TARMIZI SULAIMAN.

Akhbar in pada 10 Julai lalu melaporkan lebih 300 penduduk di Kampung Padang Toi di sini muak dan jemu dengan masalah bekalan air hingga menyukarkan urusan harian sejak setahun lalu.

Menurut penduduk di situ, mereka telah melaporkan perkara itu kepada SADA namun tiada perubahan berlaku dengan penduduk terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi untuk menadah air kerana ketiadaan bekalan pada waktu siang.

Beliau menambah, pihaknya juga telah berbincang dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) termasuk mengenai kekerapan penghantaran air melalui lori tangki.

“Kita minta mereka (SADA) hantar air dengan lebih kerap dan menepati masa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, SADA telah mengambil maklum akan isu berkenaan dan menggariskan pelan jangka pendek serta jangka panjang untuk mengatasinya.

“Untuk pelan jangka pendek, pertamanya penghantar air melalui lori tangki secara rutin telah dilaksanakan hingga kini sebanyak dua kali sehari melalui 11 trip penghantaran ke kampung tersebut yang mendatangkan manfaat kepada 28 akaun terjejas.

“Selain itu pihak SADA Wilayah Timur juga sedang mengatur pasukan bagi mengesan berlakunya paip pecah dari Tangki Caruk Pelanduk ke kampung berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, pelan jangka panjang pula katanya, tekanan air ke kawasan tersebut dijangka kembali pulih setelah siapnya projek naik taraf Loji Jeniang.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN