Pusat Sehenti Pengurusan Jenazah, bantu urus ‘lambakan’ mayat di HKL - Utusan Malaysia

Pusat Sehenti Pengurusan Jenazah, bantu urus ‘lambakan’ mayat di HKL

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Pusat Sehenti pengurusan jenazah memudahkan pengurusan menyempurnakan jenazah dengan lebih baik.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi tinjauannya ke Pusat Sehenti Pengurusan Jenazah (PSPJ) dekat sini hari ini berkata, penubuhan pusat ini bakal memudahkan proses pengurusan jenazah susulan daripada peningkatan jumlah mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Apabila jumlah kematian bertambah, katanya, pihak HKL menghadapi banyak kekangan dari sudut tempat menyimpan jenazah, tenaga yang membantu pengurusan dan urusan di tanah-tanah perkuburan.

“Untuk satu-satu jenazah melibatkan pelbagai agensi dan dari situ kita bersetuju supaya diadakan satu pusat sehenti yang lengkap dan Pusat sehenti ini melibatkan penggunaan premis sementara,” katanya.

Pihaknya juga terpaksa mengatur beberapa kemudahan termasuk kontena yang bersesuaian dan sehingga hari ini, lima kontena yang sesuai berjaya disediakan.

“Sukarelawan-sukarelawan di sini menjalankan tugasan yang mencabar dengan baik sekali dan pada masa yang sama mereka berjaya memenuhi protokol yang ditetapkan pihak hospital dan keluarga,” ujarnya.

Tambah Annuar, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah menetapkan dua tanah perkuburan iaitu di Bukit Kiara dan Taman Selasih yang mana telah ada kemudahan dan anggota pengurusan yang berjadual walaupun waris memohon untuk mengebumikan jenazah di tanah perkuburan masing-masing.

“Kita memutuskan untuk menyediakan satu lagi khidmat di sini iaitu khidmat bantuan dari pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebanyak RM5,000 kepada setiap keluarga jenazah. Diharap dengan adanya pusat sehenti ini semua jenazah dapat diuruskan dengan kadar segera tanpa sebarang isu.

“Bagi menyempurnakan jenazah Islam kita jangkakan proses pengurusan selama tujuh ke lapan jam kecuali bagi yang mempunyai masalah-masalah lain. Kita akan cuba membantu pihak keluarga dalam menguruskan kesemua jenazah dengan sempurna dan tidak lagi berdepan dengan kekangan waktu pengebumi seperti sebelumnya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN